Penyamun acu pisau dan ikat keluarga pengurus syarikat, larikan Toyota Hilux

KUCHING: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dikepung tiga lelaki dan diacukan pisau ketika cuba menangkap seorang suspek yang memecah masuk rumahnya di Taman Sri Moyan, Jalan Batu Kawa-Matang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa seorang pengurus syarikat berusia 44 tahun bersama isteri dan tiga anaknya berumur 14 hingga 19 tahun diikat serta mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa sedang tidur dan terjaga apabila terdengar bunyi anjing menyalak dan bising di tingkat bawah rumah.

Katanya, mangsa turun untuk memeriksa apa yang berlaku dan nampak dua lelaki tidak dikenali bertopeng di dapur.

“Mangsa dengan bersenjatakan kayu memukul seorang daripada suspek menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Kemudian datang tiga lelaki terus mengepung mangsa dan mengacukan sebilah pisau pada leher mangsa.

“Pada masa sama, isteri dan tiga anaknya turun ke tingkat bawah untuk memeriksa kejadian yang berlaku. Suspek menyuruh mangsa jangan melawan dan mereka mengikat kaki serta tangan keluarga mangsa menggunakan tali.

“Mulut mereka tutup ditutup dengan pita pelekat. Mereka sekeluarga diletakkan dalam sebuah bilik di rumah itu,” katanya.

Suspek melarikan dokumen peribadi mangsa, kad  mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad kredit, jam tangan, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM4,000.

Suspek turut melarikan Toyota Hilux putih milik mangsa.

Sumber itu berkata, empat lelaki dengan dua daripadanya dipercayai warga Indonesia memecah masuk rumah mangsa dengan merosakkan jeriji tingkap dapur.

Katanya, laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Ng Ah Lek ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan dibawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – SARAWAKVOICE.COM