Pelajar perempuan 14 tahun ambil syabu

Limbang: Bukan saja keciciran sekolah, malah seorang remaja perempuan didapati positif syabu hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, semalam.

Perkara itu terbongkar apabila remaja berusia 14 tahun itu dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang untuk menjalani ujian air kencing pada jam 3.40 petang semalam.

Sumber berkata, hasil maklumat orang awam, polis membawa remaja perempuan yang keciciran persekolahan itu ke balai untuk ujian air kencing.

Katanya, hasil laporan menunjukkan remaja itu positif dadah jenis amphetamine.

“Remaja itu mengaku ada mengambil dadah jenis syabu dengan cara menghidu asap yang dibakar atas kertas timah menggunakan api kecil.

“Dia mengaku mula terlibat dengan dadah sejak tahun lepas dan kali terakhir mengambil dadah kelmarin.

“Remaja itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, siasatan akan diteruskan bagi mengesan punca bekalan dadah diperoleh dan penglibatan rakan-rakan suspek. – SARAWAKVOICE.COM