KUCHING: Akibat penurunan harga minyak dunia, buat pertama kalinya para nelayan di negara ini akan membeli minyak pada harga industri, bukan lagi pada harga subsidi.

Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Immorhizam Ibrahim, perkara ini diputuskan dalam mesyuarat lembaga pengarahnya semalam berikutan harga minyak industri kini berada di paras sama atau lebih murah berbanding harga subsidi.

” Harga industri untuk diesel sekarang adalah sekitar RM1.40 seliter manakala harga subsidi sedikit tinggi” katanya ketika ditemui di Majlis Makan Malam LKIM bersama Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA) di sini malam tadi.

Immorhizam berkata, ketika ini nelayan di beberapa negeri seperti Selangor dan Kelantan telah pun diberi kebenaran untuk membeli pada harga industri.

Atas permintaan, katanya Sarawak akan menyusul selepas Pengarah LKIM Negeri mengadakan perjumpaan bersama-sama Pengerusi-Pengerusi Persatuan Nelayan negeri Sarawak sedikit mada lagi.

Sarawak mempunyai lebih sembilan ribu nelayan yang bernaung di bawah 18 persatuan di seluruh negeri.

” Pembelian diesel pada harga industri ini akan melibatkan lebih 92 ribu nelayan di seluruh negara,” ujarnya.

Ketika ini terdapat nelayan yang enggan ke laut berikutan harga diesel yang dibekalkan secara subsidi lebih mahal berbanding harga industri, tetapi pembekal harga diesel industri berada jauh dari lokasi nelayan terbabit.

” Pada masa yang sama kita telah meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengkaji situasi ini dan mencadangkan cara terbaik untuk menanganinya, kerana harga diesel industri ini adalah secara apungan pasaran dan tidak menentu,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Immorhizam menggesa para nelayan di negeri ini menjual ikan mereka kepada pasar-pasar ikan LKIM di seluruh negeri.

” Kita telah memperuntukkan RM2.1 juta untuk membina 13 pasar ikan di seluruh negeri, dan 11 daripadanya telah siap,” katanya.

Pada masa yang sama tambahnya, sebanyak RM300 ribu telah diperuntukkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Buntal untuk membangunan medan selera ikan bakar, manakala RM70 ribu diperuntukkan kepada PNK Sri Muara untuk program pembangunan usahawan agrobazar.

Berhubung isu nelayan asing yang menjual ikan di tengah laut, Immorhizam yang mentakrifkan mereka ini sebagai “lanun” berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

” Kita telah mengumpul maklumat dan membawa perkara ini kepada kementerian untuk dihalusi,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Datuk Mohamad Dolmat; Timbalan Ketua Pengarah LKIM, Saadom Wahab dan Pengarah LKIM Sarawak, Untong Keri. – SARAWAKVOICE.COM