SAMARAHAN: Pengesahan Projek Tebatan Banjir Kampung Endap seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam pasti berita paling melegakan bagi Penghulu Kampung Endap, Haji Awang Mohamad Awang Jamel.

Sebagai ketua di kampung lebih 100 keluarga itu, tiada yang lebih merisaukannya melainkan setiap kali berlakunya air pasang besar dan hujan turun secara luar biasa.

Air sungai bukan sahaja melimpah hingga membanjiri perkampungan, malah mengalir deras dan membahayakan.

Justeru apabila projek berharga RM400 juta tersebut siap kelak, banjir di kawasan itu pasti akan tinggal sejarah.

Endap yang terletak di Samarahan merupakan perkampungan dalam Dewan Undangan Negeri Muara Tuang dan Parlimen Kota Samarahan.

Ia boleh dihubungi melalui jalan darat sama ada melalui pintasan di Jalan Siburan mahupun melewati Kampung Meranek di Samarahan.

Pada setiap kali musim banjir, kampung ini sentiasa digenangi air, hingga penduduk terpaksa dipindahkan ke dalam dewan dan surau.

Jika dewan tenggelam, penduduk akan dipindahkan pula ke pusat pemindahan mangsa di SK Endap yang terletak di atas bukit.

Lawatan Ahmad Zahid semalam turut menyaksikan beliau mengumumkan pembinaan jalan baharu menghubungi kampung itu.

Pada masa yang sama, dewan serba gunanya pula akan dinaik taraf dengan alat penghawa dingin sambil dua wakil rakyat, Datuk Seri Mohamnad Ali Mahmud dan Rubiah Wang masing-masing menyumbang dua bot fiber untuk kegunaan penduduk kampung berpindah ketika kecemasan.

Yang pasti, Haji Mohamad tersenyum lebar semalam kerana buat pertama kalinya, seorang Timbalan Perdana Menteri berkunjung ke kampung itu, berucap dan bersama-sama penduduk menikmati kuih celorot dan bongkol.

Ia pasti kenangan indah baginya. Dan juga kenangan indah bagi penduduk kampung tersebut, biarpun terpaksa bersesak dan dibasahi hujan.