Kerajaan penuhi janji pilihan raya, laksana projek RM2.434 bilion

KUCHING:  Sebanyak 15 projek bernilai RM2.434 bilion akan dilaksanakan di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Projek terbabit sebahagiannya  dijanjikan oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya lalu.

Penganalisis politik menyatakan, menjelang pilihan raya menjadi amalan pemimpin politik untuk menabur janji, termasuk melaksanakan pelbagai jenis projek dalam usaha mendapatkan undi.

Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri ke-11 pada 30 April depan.

Menteri Kerja Raya berkata, antara projek terbabit ialah menaik taraf jalan Bintulu-Samalaju dari simpang Nyabau ke simpang Bakun, serta pembinaan Jambatan Batang Sadong. Selain itu, projek Jambatan Samarahan, dan menaik taraf beberapa batang jalan.

Pengundi Sarawak sentiasa menuntut agar kerajaan persekutuan dan negeri memberikan perhatian terhadap kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya dan jambatan.

“Semua projek berkenaan telah dipohon untuk dilaksanakan di bawah RMK-11, dan akan dilaksanakan berdasarkan keutamaan, dan juga janji yang dibuat menjelang pilihan raya,” kata Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, semalam.

Fadillah menyatakan, tumpuan kerajaan adalah pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,089 km.

Beliau turut menyatakan, 10 projek di bawah RMK-10 kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. – SARAWAKVOICE.COM