Gerakan Sabah, Sarawak keluar Malaysia diteropong

KUCHING: Isu Sarawak, Sabah Keluar Malaysia (SSKM) akan dikupas dalam satu Perbincangan Meja Bulat (RTD) pada 14 April depan.

Menurut Setiausaha Seminar, Profesor Madya M Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid, dalam satu kenyataan,  tajuk  perbincangan ialah Federalisme Malaysia dan Isu Hak Negeri: Peranan Media Sosial dalam isu SSKM.

Isu ini menjadi panas apabila muncul kumpulan siber yang aktif dengan tuntutan mereka untuk mendapatkan lebih autonomi kepada Sabah dan Sarawak.

SSKM merupakan satu gerakan mendesak Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia kerana menganggap kedua-dua negeri itu telah tidak dilayan dengan adil oleh kerajaan persekutuan sejak pembentukan Malaysia 53 tahun lalu.

Gerakan dalam bentuk baharu di Sarawak ialah Sarawak untuk orang Sarawak, dalam usaha mendapatkan lebih banyak kuasa dan autonomi daripada kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan berjaya mendapatkan kuasa dalam pelbagai bidang  daripada kerajaan persekutuan, baru-baru ini.

“Media sosial seperti FB dan Twitter di samping blog menjadi instrumen utama dalam perjuangan ini. Sehubungan dengan ini istana Johor juga melahirkan suara bersifat tuntutan kepada kerajaan pusat baru-baru ini. Dalam melihat pelbagai tuntutan ini ternyata kumpulan ini juga berbeza antara satu dengan yang lain, daripada sekeras mahu keluar dari Malaysia seperti SSKM, mahukan autonomi yang besar kepada negeri-negeri hinggalah kepada tuntutan penyemakan semula perjanjian Malaysia. Semua isu yang diutarakan ini kelihatan lebih banyak disuarakan di dalam media sosial. Ternyata ia menjadi instrumen yang mudah diperalat, segera dan murah,”kata kenyataan penganjur seminar terbabit.

Bagaimanapun, mengikut penganjur, persoalan integrasi nasional sudah tentu tercabar dengan kemunculan isu ini. Sehingga kini kerajaan pusat tidak mengambil sebarang tindakan keras sebaliknya berunding dengan beberapa pihak yang dirasakan sesuai. Kepimpinan negeri Sarawak kelihatan mendahului dalam perkara ini.

“Bagaimanakan akhirnya isu ini dan apakah jalan keluar terbaik bagi meredakan ketegangan. Adakah kerajaan pusat sanggup menyemak semula kedudukan dan hak negeri dalam Malaysia? Bagaimana pula isu yang lebih detil dalam tuntutan seperti hak memerintah secara bebas, semakan royalti minyak, isu bahasa dan agama rasmi, isu kewangan, Malayanisasi atau bebas dari arahan pusat dan sebagainya?””.

“Semua ini akan cuba disentuh dalam seminar  atau perbincangan RTD ini,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM