SARIKEI: Dua beranak maut manakala empat anggota keluarganya yang lain parah apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas di Kilometer 20 Jalan Sarikei-Saratok semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, Edward Melina Kadam, 42, yang memandu Perodua Viva bersama-sama ibunya, Margaret Mprum, 60, mati di tempat kejadian sementara dua wanita dan dua kanak-kanak parah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kereta Perodua Viva dari arah Saratok ke Sarikei yang dipandu mangsa hilang kawalan.

” Ini menyebabkan ia bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan.”

Sebuah kereta Proton Saga yang berada di belakang Toyota Hilux kemudian gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang Hilux berkenaan.

“Akibat rempuhan tersebut, kereta Perodua Viva terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum terbalik.

” Ini menyebabkan dua mangsa iaitu pemadu dan ibunya tersepit, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Pemandu dan penumpang kereta Proton Saga dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.

Keempat-empat mangsa yang parah turut dibawa ke hospital yang sama bagi mendapatkan rawatan lanjut,” kata Farhan.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei menerima panggilan pada jam 11.15 pagi dan sepasukan 10 anggota dikejarkan lokasi.

” Bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit ,” jelasnya. – SARAWAKVOICE.COM