DAP dan PKR: Kalah jadi abu, menang jadi arang

KUCHING: Di Kuala Lumpur, dua buah parti yang pada pilihan raya negeri 2011, bersatu hati, terpaksa sekali lagi duduk semeja untuk selesaikan isu agihan kerusi.

Kali ini, jalan yang terpaksa diharungi kedua-dua parti adalah lebih berliku.

Semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP  bertemu  bagi menyelesaikan tuntutan kerusi bertindih menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Pertindihan tuntutan kerusi, dan kegagalan menyelesaikannya menjelang 18 April depan, boleh menyebabkan kedua-duanya kecundang di tangan Barisan Nasional (BN).

Adakah sinar di hujung terowong bagi PKR dan DAP? Mungkin sahaja, asalkan masing-masing bersedia berkompromi.

Akan berlaku keadaan kalah jadi abu, menang jadi arang jika mereka gagal selesaikan isu itu.

Difahamkan sekitar 15 kerusi menjadi duri dalam daging, dengan kedua-duanya kelihatan enggan mengalah setakat ini.

Malah, beberapa hari lalu, pemimpin kedua-dua parti saling menyerang, dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak.

Jika berlaku pertarungan tiga penjuru antara DAP, PKR dan calon BN, dipercayai yang meraih manfaat ialah BN.
“Pakatan harapan akan berputih mata. Jika itu berlaku, hanya mereka sendiri yang perlu dipersalah, kerana tamak,” kata seorang pemerhati politik di Kuching.

Masalah agihan kerusi perlu diselesaikan segera.

Kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri lalu, mengikut penganalisis itu, berpunca daripada kesediaan pembangkang bertolak ansur.

Tidak berlaku pertarungan sesama sendiri.

DAP memenangi 12 kerusi, PKR 3, dan calon bebas 1.

Semua 71 kerusi ditandingi, sekali gus mengelakkan BN menang tanpa bertanding seperti dalam pilihan raya yang lepas-lepas.

Sebanyak 82 kerusi bakal ditandingi, pertambahan sebanyak 11 kerusi ekoran proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kegagalan meletakkan calon tunggal di pihak Pakatan Harapan, menyebabkan pertandingan satu lawan satu menentang BN, tidak mungkin direalisasikan.

Populariti  Tan Sri Adenan Satem menyukarkan tugas pembangkang dalam pilihan raya akan datang. Mengikut kajian Majlis Profesor Negara (MPN) Oktober lalu, penarafan populariti Ketua Menteri berada pada paras 84 peratus, lebih tinggi berbanding kajian Merdeka Center sebanyak 74 peratus April lepas.

Harapan untuk DAP menambah kerusi adalah sukar. Malah, 12 kerusi dimenanginya pada 2011 juga sukar diramalkan.

Program Impian Sarawak, dengan objektif untuk menarik perhatian pengundi luar bandar dan separa bandar, masih belum meninggalkan kesan.

“Harus diterima hakikat, sukar bagi DAP memenangi sebarang kerusi di luar bandar. DAP tidak laku di luar bandar,” kata pemerhati politik.  

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata, beliau positif kedua-dua pihak berupaya menyelesaikan isu pertindihan kerusi bagi mengelak pertandingan tiga penjuru.

DAP dan PKR tiada pilihan, kecuali perlu segera selesaikan isu pertindihan kerusi sebelum hari penamaan calon pada 18 April depan. – SARAWAKVOICE.COM