Beku pekerja asing: Akhirnya, kerajaan bersikap waras

Ya, selepas debat hangat dan kritikan pelbagai pihak tentang pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia, kerajaan bagai tersentak daripada lena.

Kini terdapat 600,000 pekerja Bangladesh di negara ini. Jika jumlah tersebut dibenarkan masuk, bermakna, akan ada 2.1 juta pekerja Bangladesh di negara ini. Satu angka yang luar biasa besar.

Bagi meletakkan dalam perspektif, itu hampir sama banyak jumlah penduduk di bandar raya Kuching.

Dan tentunya lebih besar daripada rakyat Brunei, yang hanya berjumlah sekitar 350,000 orang.

Semalam, di Dhaka kerajaan Malaysia dan Bangladesh memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membawa warga berkenaan ke negara ini. Mengikut Daily Star yang berpangkalan di Dhaka, levi yang bakal dikenakan kepada pekerja terbabit ialah RM1,946.

Di bawah tekanan pelbagai pihak, akhirnya kerajaan mengubah pendirian. Di Muara Tuang pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan, kerajaan membuat keputusan membekukan pengambilan semua pekerja asing ke negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu tentu disambut positif oleh banyak pihak.

Bayangkan kesannya jika kita benarkan kemasukan mereka ini ke negara itu? Tidakkah kita terfikir akan kesan dan implikasi dari segi politik, keselamatan, kesihatan, dan ekonomi kita?

Memang, tidak dinafikan pekerja dari negara berkenaan begitu gigih, rajin, dan kuat bekerja. Mereka sanggup bekerja di bawah panahan terik mentari, selain bersedia bergelumang dengan kerja yang kotor dan berbahaya.

Kita bukan tidak bersetuju pekerja asing dibawa ke negara ini. Kita perlu berwaspada.

Sebenarnya, kita sudah punya limpahan pekerja asing, mungkin lebih daripada yang diperlukan. Kita perlu lebih teliti dalam pengambilan mereka, dan hanya untuk sektor yang memerlukan tenaga pekerja asing tersebut.

Kita tidak mahu ada oportunis yang menyelinap gara-gara kelonggaran dasar pengambilan pekerja asing. Siapa tahu akan ada penyangak, perogol, penjenayah, dan pembawa penyakit berjangkit?

Kerajaan perlu serius mengambil tindakan menangkap mereka yang tidak ada dokumen sah. Jangan sampai negara ini sarat dengan pendatang tanpa izin. Adakah negara lain seperti Malaysia? Kalau hendak ke negara lain, seperti Jepun suatu ketika dahulu, permohonan visa bukan mudah. Anda perlu mengemukakan surat daripada majikan, kenyataan bank, dan kalau sudah berkahwin, sijil nikah.

Di mana silapnya? Kerajaan perlu jujur memberi jawapan. Dan, lebih penting, ambil tindakan tegas dan berani, tetapi berperikemanusiaan.

Majikan kita perlu lebih serius mengambil pekerja tempatan, dan bersedia memberi gaji yang lebih baik. Rakyat kita pula, perlu mengubah sikap dengan bersedia membanting tulang baik di ladang, sektor pembinaan atau kilang.

Kita tidak harus bersikap prasangka terhadap pekerja asing. Sebahagian besar mereka ke negara ini untuk mencari rezeki, sebagaimana sebahagian rakyat negara ini bekerja di Singapura, Dubai, London, Brunei, dan sebagainya. – SARAWAKVOICE.COM