2,000 pendidik berkampung di Kuching esok

 

KUCHING:  Sekitar 2,000 warga pendidik dari beberapa bahagian di negeri ini dijangka menghadiri Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Negeri Sarawak 2016, esok.

Mereka yang hadiri terdiri daripada pengetua, guru besar, penolong kanan 1 dan penolong kanan hal ehwal murid sekolah menengah dan rendah dari Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong.

Konvensyen yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) itu akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Sri Dr Khair Mohamad Yusof dijangka turut hadir.

Pada sesi sebelah petang pula, Ketua Menteri dijadualkan menyampaikan amanat, sebelum diikuti sesi dialog.

Sesi berkenaan diadakan bagi memberi peluang kupada warga pendidik mengemukakan pelbagai isu dan masalah berkaitan pendidikan di negeri ini.

Konvensyen terbabit dianjurkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) Enstek dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Difahamkan konvensyen serupa telah diadakan bagi warga pendidik nutuk kawasan tengah dan utara Sarawak beberapa minggu lalu.

Pemerhati politik menyifatkan majlis sedemikian biasanya diadakan menjelang pilihan raya bagi membolehkan pihak kerajaan berinteraksi dengan warga pendidik di seluruh negeri. – SARAWAKVOICE.COM