10 pakej baharu Pan Borneo ditender

KUCHING: Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo memasuki episod baharu apabila 10 lagi pakej baki jajarannya dari Sematan ke Miri akan ditender secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf, jajaran sejauh 746km ini dijangka bermula pada tahun ini dan siap menjelang tahun 2022.

Sehubungan itu katanya, usahawan dan kontraktor tempatan digalakkan untuk mengambil bahagian dalam peluang yang dibuka.

” Pihak LBU Sdn Bhd iaitu rakan pelaksana projek ini akan mengadakan sesi khas bersama-sama usahawan yang berminat dan saya berharap para kontraktor ini akan mengambil dan menggunakan peluang ini,” katanya.

Jelas Fadillah, status terkini projek ini kini melibatkan pembinaan dua jajaran telah bermula pada tahun lalu iaitu dari Simpang Nyabau ke Simpang Bakun sejauh 43 km dan dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33km.

Selain itu katanya, di sebalik ketidaktentuan harga minyak dunia, kementeriannya telah menerima dan melaksanakan 73 projek baharu di seluruh negara di bawah Pelan Pusingan Pertama Kementerian Pelanggan atau agensi bukan Kementerian Kerja Raya pada Rancangan Malaysia Ke-11.

” Untuk Sarawak, terdapat 46 projek sambungan Kementerian Pelanggan daripada Rancangan Malaysia Ke-10 terdahulu.

” Dan daripada jumlah itu, terdapat enam projek dengan kos projek RM290 juta masih pada peringkat reka bentuk dan proses perolehan,” katanya pada sesi Rangkaian Syarikat-Syarikat Berprestasi Tinggi (TERAS) di Kuching, semalam.

Pada masa yang sama katanya, terdapat 15 projek sambungan Rancangan Malaysia ke-11, dengan nilai RM2.434 bilion dilaksanakan di negeri ini.

” Ini termasuklah naik taraf Jalan Bintulu ke Samalaju dari Simpang Nyabau ke Simpang Bakun, pembinaan Jambatan Batang Sadong di Kampung Buloh, Samarahan dan pembinaan Jambatan Samarahan.

” Projek lain termasuklah menaik taraf Jalan Tanjung Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju dan naik taraf Batu 10 ke Batu 15 Jalan Kuching-Serian.

Projek-projek ini jelasnya, bukan sahaja memperkukuhkan ekonomi negara, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menunjukkan dan meningkatkan kebolehan mereka. – SARAWAKVOICE.COM