TPM sibuk di Sarawak mulai hari ini

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri akan melakukan lawatan kerja dua hari ke negeri ini mulai pagi ini yang disifatkan pemerhati politik sebagai usaha serius beliau untuk merapatkan hubungan dengan rakyat Sarawak, sekaligus memahami masalah mereka, dalam usaha merapatkan jurang pembangunan.

Pesawat  dinaiki Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mendarat di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK)  sekitar 9.45 pagi.

Selama dua hari di Sarawak, jadual beliau padat dengan pelbagai atur cara.

Memulakan acara, beliau akan menghadiri Majlis Mesra Anggota Tentera Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan pada jam 10.15 pagi.

Selepas solat Jumaat di kem berkenaan, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan menyempurnakan Program Pasca Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Kampung Endap, Samarahan pada jam 1.50 tengah hari.

Pada jam 4.15 petang, beliau akan menghadiri majlis Tahun Baharu Cina di kediaman Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Prof Datuk Dr Sim Kui Hian. Selepas itu, Ahmad Zahid akan menghadiri majlis serupa di kediaman ahli perniagaan, Datuk Henry Lau.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid dijadualkan merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Hotel Imperial Kuching.

Selepas itu, beliau akan menghadiri majlis Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Ahmad Zahid yang melawat negeri ini setiap bulan sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada penghujung Julai tahun lalu.

Pemerhati politik Sarawak menganggap Timbalan Perdana Menteri sebagai pemimpin yang serius dalam tugas dan tanggungjawabnya untuk menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi rakyat Sarawak.

Kekerapan beliau berkunjung ke Sarawak adalah buktinya, dan amat diterima baik rakyat.

Timbalan Perdana Menteri dijadual merasmikan Sambutan Hari Penjara ke-30 tahun peringkat kebangsaan di Padang Merdeka pada jam 2 petang.

Timbalan Perdana Menteri dijadualkan bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 4.15 petang. – SARAWAKVOICE.COM