KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih ” SEB Cares” bagi memudahkan orang ramai menyemak bil elektrik, serta mendapatkan maklumat terkini terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh mereka.

Dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Torstein Dale Sjotveit, perkhidmatan ini telah pun berada di talian dan boleh dimuat turun secara percuma daripada Apple Play Store dan Google Play Store.

” Pengenalan aplikasi ini bertujuan mendekatkan SEB dengan pengguna serta memberi fokus kepada kepuasan pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi itu di Hotel Waterfront, dekat sini petang tadi.

Pada masa yang sama katanya, ia mempermudahkan urusan seharian pelanggan memandangkan penggunaan teknologi maklumat telah menjadi sebahagian daripada kehidupan.

” Aplikasi ini bagaimanapun hanya dapat digunakan untuk menyemak bil dan mengemukakan pertanyaan kepada pihak SEB, selain memaklumkan berkaitan gangguan bekalan tenaga.

” Hanya selepas naik taraf pada Jun depan, ia dapat digunakan untuk proses pembayaran melalui perbankan internet,” katanya.

Ia akan menambah baik sistem yang sedia dan memudahkan pengguna dalam melakukan pembayaran, ujarnya. – SARAWAKVOICE.COM