sprmSIBU: Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman 46 bulan penjara dan denda RM80 ribu atas kesalahan terlibat dalam rasuah pembalakan di Kapit oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini pagi tadi.

Inspektor Mohamad Nazeri Daheri, 36, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kapit merupakan kumpulan pertama yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak pada 20 Oktober 2014 susulan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengisytihar “perang” terhadap pembalakan haram di negeri ini.

Beliau dituduh menerima suapan sebanyak tiga kali daripada seorang individu dengan nilai terkumpul RM16 ribu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti pembalakan haram di Sungai Sut, Kapit.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong ketika membacakan hukuman memberitahu, hukuman ini akan berjalan secara berasingan.

” Jika plaintiff gagal membayar denda, maka tambahan penjara 16 bulan akan dikenakan,” katanya.

Menurut fakta kes, Nazeri dituduh melakukan perbuatan tersebut untuk kali pertama pada 24 Ogos 2014, dengan menerima suapan RM3 ribu di Tekam Cafe di Kapit.

Nazeri sekali lagi menerima habuan sebanyak RM5 ribu di Maybank Kapit pada 11 September tahun yang sama sebelum mengulanginya pada 20 Oktober di Riverfront Cafe, Hotel Kingwood, Sibu dengan amaun RM8 ribu.

Kes dibicarakan di bawak Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama. – SARAWAKVOICE.COM