Rahsia masyarakat Melanau hidup tanpa konflik

Tiga minggu lalu, kami telah berkunjung ke Dalat dan Mukah. Tujuan lawatan itu adalah untuk belajar dan menyingkap rahsia, mengapa etnik Melanau dapat hidup harmoni meskipun terdiri daripada pelbagai agama. Kami disambut oleh ahli-ahli keluarga yang terdiri daripada pelbagai penganut agama dan etnik. Ada yang ibu bapa mereka beragama tradisi, Islam atau Kristian. Anak-anak mereka tidak semestinya kekal mengikut anutan agama ibu bapa mereka.

Dalam kalangan anak-anak mereka yang kekal agama tradisi, namun ada yang sudah beragama Kristian dan ada pula memilih agama Islam. Apabila anak-anak ini berkahwin kemudiannya, tidak semesti anak yang beragama tradisi itu berkahwin sesama penganut agama mereka. Sering kali anak-anak ini akan memeluk agama pasangan yang dicintai mereka.

Ibu bapa mana tidak merintih perasaan apabila anak-anak mereka berkahwin.  Apatah lagi perkahwinan anak-anak itu merentas kumpulan agama dan etnik lain. Jarang-jarang terdengar keputusan anak sedemikian akan menyebabkan kehancuran hubungan anak itu dengan ibu bapa mereka atau anak itu dibuang keluarga.  Ibu bapa keluarga Melanau ini didapati mencari muafakat sesama keluarga dan anak-anak mereka yang juga didapati terdiri daripada agama dan etnik lain tentang niat si anak ini yang mahu berkahwin dengan calon dari anutan agama dan etnik lain itu.

Atas dasar menghormati pilihan pasangan yang dicintai anak itu dan demi kebahagian mereka, ibu bapa si anak itu akan bersetuju dan memberi apa-apa bentuk sokongan dan bantuan untuk memastikan perkahwinan mereka berjalan dengan lancar mengikut amalan budaya dan agama yang si anak itu kahwini. Oleh kerana keluarga asas dan besar si anak itu juga terdiri daripada pelbagai agama dan etnik, maka urusan bertunang dan majlis perkahwinan si anak itu akan diurus oleh bapa saudara atau ahli keluarganya yang beragama Islam atau Kristian.

Diperhatikan ada berlaku penceriaan dan perebutan pemilikan anak-anak daripada pasangan yang kahwin campur dengan orang Melanau itu, tetapi kadar penceraian dalam kalangan masyarakat Melanau dan pasangan berkahwin campur ini adalah sangat kecil.

Jika berlaku juga perebutan anak-anak, harta dan mayat yang boleh meretakkan hubungan antara mereka ini, akan diuruskan oleh ketua adat, ketua kaum, kadhi atau padri akan duduk bersama berunding dengan ahli-ahli keluarga yang terlibat ini untuk mendengar fakta sebenar dan memutuskan bersama jalan penyelesaian dipersetujui bersama. NGO dan parti-parti politik tidak diberi tempat untuk berperanan yang masalah keluarga ini.

Di manakah kekuatan dalaman masyarakat Melanau ini yang membolehkan amalan perkahwinan campur dalam kalangan ahli-ahli mereka berlaku yang merentas bukan sahaja suku dan etnik tetapi juga batas agama?  Jiwa bertolak ansur yang tinggi lahir daripada pegangan kepada palei yang ada kaitan dengan perkahwinan dan kematian dalam masyarakat Melanau. Pegangan kepada palei ini tersulam dalam norma anggota masyarakat yang tidak akan melanggar pantang masyarakat kerana sumpahan pelanggaran palei ini akan membawa musibah bukan ke atas individu yang ingkar, tetapi kepada anak-anak, cucu-cicit dan generasi mendatang.

Dalam suasana ini, yang melanggar dan dilanggar merasakan bertolak ansur segera dengan permintaan sesiapa yang terlibat dalam sangat dituntut agar satu keputusan bersama tercapai demi menjaga keharmonian, perpaduan dan kedamaian masyarakat mereka sendiri.

Pegangan masyarakat tradisional di Sarawak, khususnya masyarakat Melanau, pada palei telah melahirkan norma pengikat titian sosial rentas etnik dan agama antara individu dalam kumpulan sosial yang memiliki ciri ‘darah, budaya, bahasa dan kesukuan bersama’ bukan sahaja dalam hal perkahwinan campur, malah dalam pergaulan, berpersatuan dan termasuk berpolitik. Apabila mereka bertemu di kedai kopi, dalam berpolitik dan termasuk khariat kematian sekampung, semuanya dijalankan berdasar perkiraan agama yng berbeza itu.  

Dalam satu kes misalnya, seorang anak Melanau Islam yang memaklumkan yang dia sudah jatuh cinta dengan anak Kristian Melanau, ayahnya merancang untuk menziarah ibu bapa wanita itu, tetapi hanya diselesaikan melalui perbualan telefon dan memberi surat  kebenaran untuk memeluk Islam dan berkahwin dengannya.

Keluarganya yang masih terdiri daripada menganut agama tradisi dan Kristian bersama menyediakan kenduri untuk pasangan baharu itu. Malahan, dia pula dimohon oleh anak saudaranya yang beragama Kristian untuk membantu mereka oleh kerana anak sepupunya sudah jatuh dengan anak Melayu di Selangor pula.

Dalam suasana kumpulan sosial terikat dengan akar suku melalui pegangan palei, peranan ketua kaum, rumah adat, kepemimpinan agama dan keluarga mengelak campur tangan kepemimipinan politik dan mampu membina norma saling hormat dan bertolak ansur ini hinggakan tiada isu dan aspek kehidupan masyarakat dipolitikkan.

Hanya dengan berpegang kepada palei apa-apa perbezaan hidup manusia dapat diikat berteraskan sikap saling memperakui, menghormati, menerima, berkongsi dan meraikan perbezaan. – SARAWAKVOICE.COM