Pil pahit untuk Barisan Nasional

Apalah yang susah sangat? Jikalau ada pihak yang teringin betul bagi kerusi kepada calon bukan BN, bagilah kerusi daripada parti mereka sendiri sahaja.

Mengapa harus bersengketa? Lucu tapi benar – apa yang boleh dilihat terjadi sekarang.

Memalukan diri saja bercerita di sana sini masalah yang dicari sendiri untuk merungsingkan diri. Bikin tambah tekanan jiwa untuk diri sendiri sahaja.

Apa sebab mesti beri kerusi kepada UPP dan Teras yang bukan parti komponen BN? Kenapa berkeras mahu daripada kuota SUPP atau SPDP?   

Jika wakil rakyat yang menang atas tiket parti komponen BN telah keluar daripada parti, maka terang-terang wakil rakyat ini sudah bukan lagi ahli keluarga BN.

Wajarkah tindakan yang menyerupai budaya katak politik dibenarkan dan diteruskan? Lepas menang lompat parti. Tidak kisahlah ke parti BN sedia ada atau tubuh parti sendiri.

Perbuatan terkutuk dalam politik sebegitu seharusnya turut disamakan kepada sabotaj dan khianat terhadap parti serta kepercayaan dan harapan rakyat.

Atau jika gagal disenarai pendek sebagai calon, keluar parti tanding atas tiket parti lawan. Sebab seolah-olah rahsia yang diketahui umum, selepas menang boleh umum  kepada seluruh dunia, diri ialah BN friendly atau BN plus.

Barangkali satu lagi pendekatan ialah ‘potong jalan’ naik atas pujuk bos yang lagi besar dalam hierarki pakatan politik dengan ketepikan keputusan daripada kepemimpinan tertinggi parti untuk jadi apa yang disebut sebagai ‘calon langsung BN’.         

Kita jangan lupa kes Larry Sng juga pernah dikatakan memohon bertanding atas tiket ‘calon langsung BN’, tetapi ditolak. Adakah kali ini akan ada sikap pilih kasih yang mana secara tidak langsung menunjukkan diskriminasi terhadap ADUN yang masih lagi pemegang rekod wakil rakyat termuda di Sarawak dan Malaysia secara amnya?

Difahamkan berdasarkan peruntukan BN ahli yang dipecat daripada parti BN tidak boleh menjadi calon langsung BN. Untuk menjadi anggota langsung BN pun memerlukan kelulusan daripada Dewan Tertinggi BN.

Jika peraturan sedia ada boleh diubah-ubah atau ada pilihan mahu ikut atau tidak, mungkin tiada kerugian juga kalau bubar sahaja Barisan Nasional (BN) itu.

Parti-parti komponen lain di seluruh Malaysia sudah pasti tidak mahu keputusan yang dibuat menjadi reference cases pada masa akan datang jikalau mereka pula yang berhadapan dengan situasi sama.  

Setiap nama calon yang dipilih oleh parti ada asas penilaiannya. Pasti ada kriteria-kriteria yang ditepati. Paling utama mestilah perkiraan dapat sokongan rakyat.

Contoh dua nama, James Dawos Mamit dan Billy Abit Joo yang cuba diguna pakai oleh puak pelobi ini sebenarnya berbeza kes mereka. Kerusi Parlimen Mambong, kini dikenali sebagai P198 Puncak Borneo, pada pilihan raya umum 1999 merupakan kerusi baharu majoriti Bidayuh yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 1996.

Bukankah mereka yang mendakwa diri sebagai “mempunyai peluang sebenar untuk menang” sepatutnya tiada masalah boleh menang sebagai calon bebas. Mengapa mahu terhegeh-hegeh tanding atas cap dacing?

Itu pun belum tentu sama ada peraturan SPR membenarkan calon yang bukan daripada parti komponen BN bertanding dengan cap dacing BN.

Billy Abit Joo sendiri pernah menang kerusi Parlimen P216 Hulu Rajang pada tahun 1990 dengan cap ayam sahaja mengalahkan calon BN dan seorang lagi calon Bebas yang menggunakan cap kelapa sawit.

Jangan takut ‘Hilang Wang Pertaruhan’. Beranikan diri ambil risiko tersebut apatah lagi ia adalah hak setiap warganegara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Atau mungkinkah di sebalik semua drama bersiri ini sebenarnya hanyalah suatu sandiwara yang ingin membocorkan suatu ‘rahsia’ bahawasanya terdapat komplot rundingan dalam kalangan pemimpin tertentu BN sendiri untuk memusnahkan parti-parti komponen BN sendiri?   

Tak usahlah bagi tekanan kepada Tok Nan. Juga jangan terlepas pandang juga pengundi Cina adalah unik.  – SARAWAKVOICE.COM