DUN Simanggang: PKR berniat jahat letak calon – DAP

KUCHING: Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon partinya tanpa berunding dengan rakan komponen Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang dikecam keras oleh pimpinan Dayak dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri.

Naib Pengerusi DAP Sarawak, Leon Jimat Donald dalam kenyataannya di Betong beberapa hari lalu sebaliknya menyelar tindakan ahli politik ‘sambilan’ PKR itu sebagai berniat merampas kerusi tradisi milik DAP.

Pada PRN 2011, Leon yang bertanding atas tiket DAP tumpas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Francis Horden Hollis dengan majoriti 2,447 undi. Leon memperoleh 2,311 undi manakala Harden mengutip 4,758 undi.

Difahamkan pada Disember tahun lalu, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar telah mengumumkan Norina Umoi Utot sebagai calon PKR untuk DUN Simanggang.

Norina Umoi Utot, 54 tahun, berketurunan Iban merupakan lulusan Ekonomi dari University of Winnipeg sebelum memperoleh ijazah sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Heriot-Watt University.

Norina merupakan mantan ahli Majlis Tertinggi Pusat Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan mantan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Dewan Perniagaan dan Industri Dayak Sarawak. Kini beliau merupakan ahli perniagaan sepenuh masa yang terlibat dalam industri gas dan minyak.

Mengulas lanjut, Leon berkata, tindakan PKR untuk merampas kawasan Dayak yang pernah ditandinginya sebagai ‘berniat jahat’.

” Ini malah mencetuskan pergeseran di peringkat akar umbi di antara penyokong DAP dan PKR menjelang PRN Sarawak April ini.

“ Saya dapati usaha PKR ini melucukan dan tidak masuk akal kerana mereka hanya muncul semasa pilihan raya dan hilang serta-merta selepas pilihan raya selesai.

Oleh itu tegas Leon, bagaimana rakyat boleh mengharapkan PKR untuk membantu rakyat di Sri Aman apabila mereka tidak mampu mengekalkan pejabat, malah ahli-ahli mereka sendiri?

“ PKR begitu angkuh dan tamak mahukan kerusi yang telah dijaga oleh ahli-ahli DAP sebelum ini.

“ Sekarang, hampir semua kerusi Dayak luar bandar dituntut oleh PKR sebagai pemimpin kanan DAP, saya dapati ia tidak masuk akal dan tidak adil,” tegasnya

Selain itu, dedahnya, Norina Umoi merupakan calon payung terjun PKR yang didatangkan dari Betong.

” Tiada siapa mengenali beliau di Simanggang!” katanya.

Betong, merupakan sebuah pekan kecil, kira-kira 76km atau satu jam perjalanan dari pusat bandar Sri Aman.

Leon Donald merupakan salah seorang daripada lima pemimpin Dayak dalam saf kepimpinan DAP Sarawak.

Kaum Dayak dianggarkan kira-kira 5 hingga 15 peratus daripada barisan kepimpinan DAP negeri yang didominasi oleh kaum Cina. – SarawakVoice.com