KUALA LUMPUR: Pada hujung minggu lalu, Mandeep Singh, selaku aktivis dan pengurus Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0,  telah berkunjung ke Sarawak untuk  persiapan projek pemantauan pilihan raya negeri Sarawak yang bakal berlangsung.

Tujuan Mandeep ke Sarawak adalah bagi membentuk kumpulan pemantau bebas untuk pilihan raya negeri.

Pilihan raya negeri Sarawak dijangka diadakan 30 April, dengan parti politik berusaha merebut 82 kerusi, daripada 71 kerusi sekarang, ekoran proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dalam pilihan raya negeri 2011, Barisan Nasional memenangi 55 kerusi, DAP 12, PKR 3, dan Bebas 1.

Namun,  Mandeep terkejut. Pihak Imigresen memaklumkan beliau tidak dibenarkan masuk ke Sarawak kerana namanya disenarai hitam sejak 28 Januari 2016 atas arahan ketua menteri.

Di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian 18 Perkara, Sarawak mempunyai autonomi dalam hal-hal imigrasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Imigrasi 1959/1963.

Bersih 2.0  membantah tindakan Kerajaan Sarawak melarang kemasukan Mandeep ke negeri tersebut.

Sebelum ini beberapa orang ahli politik dan aktivis telah disekat daripada memasuki Sarawak, termasu Datuk Ambiga Streenevasan dan Maria Chin Abdullah.

Sementara itu, Bersih 2.0 menyeru rakyat Sarawak agar terus memperjuangkan hak dan kebebasan melalui pilihan raya ke-10 nanti. – SARAWAKVOICE.COM