Polis tumpaskan dalang sindiket curi kenderaan

BINTULU: Polis Sarawak percaya mereka dapat menumpaskan satu sindiket curi kenderaan berat di sini dengan tertangkapnya seorang lelaki awal pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar Shunmugam, penangkapan lelaki terbabit dipercayai dapat membantu menyelesaikan beberapa kes kenderaan berat dan pacuan empat roda (4WD) di sekitar bandar ini.

” Lelaki terbabit berjaya diberkas dalam satu operasi khas di Kilometer 45, Jalan Bintulu – Miri, di sini kira-kira jam 3 pagi tadi,” katanya.

Dev berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sedang dalam rondaan rutin di Taman Perindustrian Samalaju, di sini apabila mereka terserempak dengan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah tapak pembinaan.

” Berasa curiga dengan tiga lelaki berkenaan, yang dipercayai menaiki kenderaan curi, polis mengekori kumpulan terbabit sebelum berjaya memintas lori yang dipandu mereka.

Sebaik pintasan, ketiga-tiga suspek katanya, cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

” Seorang suspek bersenjatakan kapak bagaimanapun berpatah balik dan cuba menyerang polis ketika ditahan, dan untuk mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan,” katanya.

Saspek yang ditembak berusia 30 tahun dan berasal dari Niah, Miri kemudian dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan.

” Dua lagi rakan saspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Dev berkata, operasi masih diteruskan bagi mengesan kedua-dua saspek yang masih melarikan diri. – SARAWAKVOICE.COM