“Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama”, begitulah ungkapan kata-kata daripada pemain no 10 yang hampir putus asa sebelum melangkah masuk padang Merdeka untuk separuh masa kedua dalam filem Ola Bola.

Begitulah mentaliti dan semangat juang yang tertanam dalam sanubari hampir setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) – tidak kira sama ada dalam pasukan tetap mahupun simpanan.  

Apa yang mendorong (natijahnya) seorang sahabat saya menonton filem ini tiga kali (saya sendiri pun menonton dua kali)? Sumandak yang cantik molek ini pun bukan dalam regimen askar wataniah apatah lagi peminat bola sepak.

Balasnya menerusi WhatsApp apabila saya bertanya ialah “.. fokus kepada susah payah atlet yg bukan hanya kerjanya main bola.. pemain bola ini pagi kerja lain, ptg main bola, malam kerja lagi.. ahli pasukan yg rapat umpama adik beradik, padahal berbeza agama, bangsa dan latarbelakang.”

Ok….

Tambah beliau dalam mesej WhatsApp kedua (kepada saya), “…. dari pakaian, bangunan, kenderaan hinggalah ke tin milo dan tabung ayam, semua props yg membuatkan ayah sy bercakap2 dlm wayang sbb terlalu eksited mengenang zaman muda dia bertshirt ketat belang, rambut afro dan seluar bell bottom..”.

Nampak berbaloi beliau mengajak ayahnya menonton filem tersebut (kali ke-3 buat dirinya) – menyentuh perasaan, mengungkit kenangan dan sangat puas hati. (Yang tidak best mungkin bebelan nasihat-nasihat secara perbandingan dulu dengan kini selepas itu).

Saya tahu banyak sudah ulasan, komen, dan testimonial (dalam media sosial) di luar sana brkenaan Ola Bola hasil terbitan anak watan Malaysia ini tetapi (mohon) izinkan saya berkongsi juga sedikit pandangan saya.     

Filem tersebut tidak sama sekali diterbitkan sebagai filem patriotisme. Filem tersebut diinspirasi daripada kisah benar pasukan bola sepak kebangsaan bergelut melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai hiburan.

Jaringan pada malam itu pun bukannya 3-2 sebaliknya 2-1. So, tidak perlu emosi argue tidak puas hati gol pada malam itu dijaringkan oleh James Wong atau Ali.

Matlamat mereka adalah mengharumkan nama negara dengan mengangkat nama Malaysia ke arena antarabangsa. Bukan sahaja pemain memberikan sepenuhnya komitmen mereka, seluruh ahli keluarga bersama-sama berkorban demi merealisasikan impian tersebut. Nilai-nilai yang agaknya sudah luntur dalam sebahagian institusi kekeluargaan kita pada hari ini.

Bahasa yang digunapakai dalam Ola Bola betul-betul “truly Malaysian” kerana dengan sendirinya sudah mencerminkan realiti masyarakat Malaysia. Pelbagai dialek dan loghat bahasa boleh kedengaran, ada Bahasa Mandarin, Melayu, Tamil, Inggeris, kantonis, dan hokkien. Senario yang biasa dilihat dalam masyarakat majmuk kita sehingga hari ini.   

Tangkap buah kelapa pun boleh jadi goalkeeper kebangsaan? Mungkin dalam filem ini tiada anak yang dibesarkan bak kata orang putih – silver spoon.  

Yang pasti dalam kehidupan kita adakalanya watak seperti Muthu amat diperlukan – di saat-saat kita hilang panduan hidup. Suara-suara kecil yang lahir daripada kehibaan hati adakalanya mampu merubah segala-galanya.

Kisah keluarga tauke secara tidak langsung juga telah mendedahkan keluarga Cina yang tipikal pada suatu ketika dahulu. Anak lelaki sering mendapat perhatian (perihatinan) dan kasih sayang yang lebih daripada orang tua seperti si ibu merebus sup ayam untuk anak lelaki yang boleh ditonton dalam filem itu.

Meskipun masyarakat Cina selalu bilang, “miskin macam manapun tidak boleh miskin pendidikan”, Ola Bola turut mendedahkan realiti kehidupan keluarga Cina suatu ketika dahulu bukannya semua bernasib baik atau berpeluang melanjutkan pelajaran khususnya anak perempuan meskipun mendapat keputusan cemerlang (dalam pendidikan).  

Air dicencang tak akan putus, adik (perempuan) tauke membuat kejutan dengan membeli sebuah televisyen dengan hasil titik peluh menoreh getah dan menjahit untuk membolehkan ahli keluarganya menonton abangnya bermain untuk negara.

Kawan baik tauke, Rahman pun terpaksa melalui pelbagai ujian getir sebelum tercapai impiannya menjadi pengulas lintas langsung sukan bola sepak. Berkat usaha gigih, kesabaran, hormat kepada cikgu, dan sokongan moral daripada keluarga terutamanya kedua-dua anak kembar beliau akhirnya menyaksikan beliau memperolehi peluang emas yang sulung dalam perlawanan yang begitu penting. Gol gol gol gol gol gol ……….

Tidak lupa Ah Cai yang menunggu lapan tahun sebagai pemain simpanan sebelum dapat peluang beraksi. Buat yang terbaik, anda tidak tahu bila peluang anda tiba. Yang penting pastikan anda sudah bersedia ketika peluang itu muncul. Apa-apapun angka no 4 masih lagi tidak digemari oleh Cina sehingga hari ini.

Paling syiok sebenarnya melihat pemain-pemain bola menjalani latihan ketenteraan untuk membentuk semangat kerja berpasukan sesama mereka. Idea alternatif yang boleh dipertimbangkan di masa depan untuk memupuk erti tanggungjawab kolektif selepas ini.

Mesti ramai juga yang tertarik bertanya di mana babak-babak keretapi usang dan pemandangan cantik alam fauna serta sawah padi dirakam. Jawapannya di Sabah negeri di bawah bayu. Begitulah rupa keretapi di Sabah.

Saya fikir jikalau Pulau Nami di negara kimci boleh menjadi destinasi pelancongan popular disebabkan menjadi lokasi penggambaran drama Winter Sonata, tidak mustahil lokasi-lokasi penggambaran filem Ola Bola di Sabah boleh jadi tarikan pelancongan.   

 Akhir kata, setinggi-tinggi tahniah kepada pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan. (Boleh minta sehelai jersi Ola Bola? Hahaha …)  – SARAWAKVOICE.COM