SARIKEI: Berpuluh-puluh ribu pengunjung dijangka mengunjungi tapak pameran Program Senada Sejiwa di bandar ini mulai esok.

Program anjuran Kerajaan Negeri yang diadakan dari 19 hingga 21 Februari itu merupakan satu daripada siri pameran dalam program berkenaan.

Program di bandar ini dijangka mampu menarik 80,000 pengunjung.  Program  pertama di Miri dikunjungi 180,000 pengunjung, manakala yang di Sibu 180,000 pengunjung dan peserta.

Pemerhati politik menganggap bahawa program itu merupakan antara petanda bahawa pilihan raya semakin dekat.

Seorang pemerhati politik berkata, ini merupakan usaha kerajaan untuk memberitahu rakyat tentang pembangunan yang telah dicapai oleh kerajaan, dan peluang yang bakal dinikmati rakyat jika terus menyokong Barisan Nasional.

Objektif program itu, mengikut sumber kerajaan, adalah untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat, sesuai dengan tema “Kerajaan Bersama Rakyat”.

Pelancarannya akan diadakan di  Stadium Sarikei oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Haji Satem.

Selepas acara perasmian Ketua Menteri dijadualkan menyampaikan sijil pelantikan kepada ketua kaum, dan mengagihkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR)  daripada Petronas.

Bagi menarik pengunjung pelbagai acara diadakan, termasuk  persembahan oleh artis popular tanah air dan jamuan rakyat.

Menjelang pilihan raya negeri 2011, program diadakan di pelbagai bandar di seluruh Sarawak, dan mengikut statistik kerajaan, telah berjaya menarik 900,000 pengunjung. – SARAWAKVOICE.COM

sejiwa senada sarikei