KUCHING: Menteri Pembangunan Masyarakat, Wanita dan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah hari ini mengesahkan seramai 958 ketua isi rumah miskin di negeri ini masih belum mendapat sebarang bantuan kebajikan.

Biarpun nama mereka telah disenaraikan dalam e-Kasih atau Sistem Bank Data Nasional, mereka gagal dibantu kerana beberapa faktor, termasuk paras garis kemiskinan atau PGK di antara beberapa agensi kerajaan.

” Saya telah meminta semua agensi yang terlibat dalam focus group membasmi kemiskinan negeri Sarawak berusaha membantu kumpulan malang ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan di Bilik Gerakan Negeri di sini.

Datuk Fatimah berkata, sehingga 15 Februari lalu, seramai 29,587 ketua isi rumah dikategorikan sebagai miskin tegar dalam rekod e-kasih.

” Seramai 35, 109 ketua isi rumah dalam kategori miskin dan 6,855 ketua isi rumah dalam kategori mudah miskin.”

Katanya, berdasarkan statistik terkini, sebanyak 37,954 ketua isi rumah terkeluar dari senarai e-kasih atas beberapa faktor.

”  Antaranya termasuklah kerana ketua isi rumah tersebut berkahwin semula, meninggal dunia, tidak dapat dikesan dan juga telah terkeluar dari kategori miskin kerana peningkatan pendapatan,” jelasnya.

Fatimah berkata, beberapa program telah dilaksanakan bagi membantu golongan miskin ini bebas daripada belitan kemiskinan.

” Antaranya termasuklah melalui program khas Kumpulan Mobile yang memfokus kepada membantu golongan sasaran pada jangka masa segera.

” Pada tahun lalu, pasukan yang menghimpunkan petugas pelbagai agensi kerajaan ini telah melaksanakan program di enam kawasan manakala pada tahun ini, mensasarkan 32 kawasan baharu,” tambahnya.

Berikutan kejayaan melaksanakan program 1 Azam pada tahun lalu, kerajaan Sarawak akan berusaha untuk memberi bantuan peningkatan ekonomi seperti ini kepada 13,112 keluarga miskin tegar dan 18,511 keluarga miskin pada tahun ini.

” Untuk tujuan ini, kami berusaha memohon peruntukan sebanyak RM50 juta dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sesi Putrajaya Inquisition pada 23 Mac depan,” katanya lagi. – SARAWAKVOICE.COM