Tiga penyamun 25 utas jam dicekup

KUCHING: Tiga lelaki warga Indonesia ditahan semalam bagi membantu menyelesaikan kes dua jiran yang dirompak semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, ketiga-tiga saspek ini ditahan di sebuah rumah kongsi kurang 12 jam daripada jenayah tersebut berlaku, tidak jauh dari lokasi rompakan.

” Kita masih lagi menjalankan siasatan dan telah memohon tahanan reman terhadap ketiga-tiga saspek hari ini. Saspek katanya, berusia sekitar 24 ke 26 tahun.

” Kita masih memburu rakan saspek,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian semalam, dua keluarga yang tinggal berjiran disamun empat lelaki bertopeng dan bersarung tangan.

Dalam kejadian pertama sekitar jam 4 pagi di Jalan Pustaka dekat sini, mangsa seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dan keluarga sedang tidur nyenyak sebelum menyedari pintu biliknya dibuka secara paksa.

Saspek yang dipercayai empat lelaki warga Indonesia bersenjatakan pisau dan pemotong kertas kemudian mengikat mangsa dan dua anak lelakinya dengan besi penyangkut baju, isteri mangsa pula diikat dengan kain manakala anak perempuannya yang berusia 28 tahun tidak diikat.

Perompak tersebut kemudian berjaya melarikan 25 utas jam tangan pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM10 ribu, telefon bimbit, tablet dan wang tunai matawang asing.

Mereka juga berjaya melarikan pelbagai barang kemas dan kerugian yang dialami mangsa ditaksirkan sekitar RM60 ribu.

Saspek dipercayai memasuki rumah tersebut dengan mengumpil tingkap di bilik bacaan di tingkat bawah sebelum menggunting jeriji tingkap.

Setelah itu, kumpulan perompak yang sama dipercayai memecah masuk rumah jiran mangsa, yang terletak bersebelahan, dan berjaya menyambar sehelai jaket, sebelum isteri melarikan diri serelah isteri mangsa menyalakan lampu limpah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan melakukan pecah rumah.

Jika sabit kesalahan, saspek boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala untuk kesalahan kedua, penjara maksimum lima tahun dan denda. – SARAWAKVOICE.COM