Liga Super 2016: Sarawak 1 KL Felda United 2

KUCHING: Sarawak harus menyesali ketumpulan jentera penyudah menjadi punca mereka kempunan tiga mata malam ini.

Menentang KL Felda United, anak-anak buah Datuk K Rajagopal bermain dengan cukup rancak terutama dari segi penguasaan bola, namun gerakan demi gerakan yang dilancarkan bagai tiada penyudah.

Minit ke 40, bola di hadapan gawang Mohd Farizal tidak terusik hasil kuisan Shreen Tambi, sekali gus menafikan peluang untuk tuan rumah mendahului.

Memasuki babak kedua, Mohd Irfan Bakti menukar rentak dan percaturan. Hantaran pantas dan serang balas menyebabkan lebih enam ribu penyokong tuan rumah tidak senang duduk.

Berpunca daripada perebutan di hadapan gawang gol, penyerang asal Liberia KL Felda United, Zahrahan Krangar yang tidak dikawal merembat deras dari luar kotak penalti untuk gol pertama KL Felda United pada minit ke-48.

Setelah senyap seketika, penyokong Sarawak kembali ceria apabila Gilmar Jose ditarik jatuh di dalam kotak penalti pada minit ke-70 susulan hantaran J Partiban.

Junior Aparecido tidak mensia-siakan peluang apabila meledakkan bola ke kanan gawang Mohd Farizal untuk gol penyamaan Sarawak.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila hasil kesilapan Ronny Harun, Francis Forkey Doe menanduk masuk hantaran silang Christie Jeyaselan pada minit ke-78 untuk KL Felda United kembali mendahului.

Tamat perlawanan Sarawak 1 KL Felda United 2. – SarawakVoice.com