Hukuman 11 tahun 2 sebatan kerana buli pemandu wanita

KUCHING: Pembuli jalanan yang selalu menipu pemandu wanita dengan mendakwa mereka melanggarnya hingga mendatangkan kecederaan, Eric Maang Dring, 46, akhirnya dihukum penjara atas perbuatan terkutuknya.

Majistret Zulhairil Sulaiman menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan kepada penganggur dari Kampung Simpok, Siburan itu setelah dia mengaku salah atas lima pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

Tiga daripada kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut manakala dua lagi kesalahan adalah di bawah Seksyen 420, juga kanun yang sama kerana menipu.

Kes Maang sebelum ini menjadi viral di laman sosial kerana memeras ugut dan memaksa pemandu wanita membayar ganti rugi RM300 ke RM400 kerana melanggar motosikalnya, walhal insiden itu tidak pernah berlaku.

Malah wang tersebut kononnya diperlukan untuk membolehkannya menjalani rawatan kerana cedera selepas dilanggar mereka.

Pada awal bulan ini, Maang melakukan penipuan tersebut terhadap seorang wanita berhampiran lampu isyarat Jalan Green, sebelum mengulanginya pada keesokan harinya di lampu isyarat Wisma Saberkas.

Kebanyakan mangsa Maang berkongsi kisah mereka dalam laman sosial facebook hingga menjadi viral pada awal bulan ini.

Dia kemudian dicekup polis ketika mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak, selepas didakwa dilanggar kereta.

Penangkapan itu juga sebenarnya adalah hasil intipan pihak polis sejak kes tersebut menjadi viral di laman sosial.

Semalam, mahkamah dimaklumkan bahawa Maang juga pernah dipenjarakan selama 15 tahun kerana jenayah rogol dan dibebaskan kira-kira tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Roslan Bek Ahmad berkata, hukuman yang diterima oleh Maang adalah setimpal, sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak melakukan perbuatan yang tidak berfaedah, terkutuk, yang akhirnya boleh menyusahkan diri sendiri.

” Peras ugut yang kamu lakukan tidak akan dapat mengayakan kamu.

” Malah telah memberi kesusahan, telah ditangkap, didakwa, kena (penjara) 11 tahun dan dua sebatan,” tegasnya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini pagi tadi.

Katanya, bagi mereka memiliki niat untuk melakukan perbuatan yang serupa supaya segera insaf.

” Pihak polis sentiasa memantau dan meminta kerjasama masyarakat untuk membantu menyalurkan maklumat.

Kes ini katanya, adalah contoh kerjasama penuh yang diberikan oleh orang awam dalam menyalurkan maklumat hingga membolehkan Maang ditangkap dan didakwa. -SARAWAKVOICE.COM