BN pertaruh Dennis Ngau pertahan Telang Usan

MIRI: Dennis Ngau dinamakan sekali lagi sebagai calon Barisan Nasional bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Telang Usan pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengumuman mengenainya dilakukan oleh Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada majlis ” Hello Komoditi” di Long Lama, Sabtu lalu.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden Kanan PBB yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jabu berkata, pemilihan Dennis untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada tahun 2011 itu telah diputuskan Presiden parti, Tan Sri Adenan Satem atas prinsip kepercayaan, Dennis mampu memberi sumbangan cemerlang kepada komuniti di kawasan tersebut.

” Kita harus menghormati keputusan ini dan tidak perlu gaduh-gaduh,” katanya lagi.
Tambah Jabu, masyarakat Orang Ulu bukan sahaja perlu bersama-sama Barisan Nasional bahkan perlu memastikan kemenangan besar calon-calonnya pada pilihan raya akan datang.

Dennis yang berasal dari Long Bedian, Baram memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 845 undi.

Dennis memperoleh 3,597 undi, lawannya Harrison Ngau Laing (PKR) 2752 undi, Kebing Wan (SNAP) 705 undi dan calon bebas, Jok Ding 625 undi.

Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada sebuah universiti di Amerika Syarikat ini ketika dihubungi berkata, beliau berterima kasih atas keyakinan yang diberikan oleh Tan Sri Adenan baginya mempertahankan kerusi yang disandang.

” Saya telah bekerja keras sejak 2011 lagi dan akan terus berusaha gigih dengan suntikan harapan baru yang digalas ini,” katanya.

Dennis berkata, banyak program pembangunan telah dirancangkan di kawasan itu dan antara yang paling besar, ialah menukarkan kawasan tanah tinggi di kawasan Ulu Baram sebagai pusat pengeluaran hasil pertanian beraltitud tinggi ketiga negara.

” Dengan pemecahan kawasan ini berikutan persempadanan semula Dewan Undangan Negeri, ia akan memberi fokus yang lebih kepada kawasan yang perlu dibangunkan, di samping memudahkan pembahagian bajet dan peruntukan,” katanya.

Katanya, memang menjadi tradisi kawasan Telang Usan dipenuhi pelbagai isu, dari isu jalan, kepada pembalakan dan pengabaian masyarakat Penan, terutama pada setiap musim pilihan raya.

” Tetapi saya percaya, rakyat di kawasan ini cukup matang dan mereka memahami bahawa hanya Barisan Nasional yang dapat mengeluarkan mereka dari kesempitan hidup dan kemiskinan.”

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka menurunkan peguam hak asasi daripada etnik Kenyah, Roland Engan bagi berhadapan dengan Dennis pada April kelak. – SarawakVoice.com