Bahasa Inggeris tetap bahasa kedua Sarawak

KUCHING: Di sebalik kecaman dan kritikan pelbagai pihak, Kerajaan Sarawak akan tetap melaksanakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau mengambil pendekatan itu bagi mengimbangi kegagalan dasar pendidikan negara sebelum ini yang menyebabkan ramai graduan di negara ini tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

” Dasar pendidikan kita sebelum ini yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris adalah gagal. Kita tidak boleh menafikan ia gagal,” tegasnya ketika majlis pelancaran Book of Asia anjuran Yayasan Asia di Dewan Undangan Negeri, dekat sini semalam.

adenan satem 3

Jelasnya, terdapat ribuan graduan yang menganggur di negara ini kerana gagal membentuk perkataan menjadi ayat dalam bahasa Inggeris.

” Malah graduan-graduan ini tidak dapat diambil bekerja kerana tidak fasih berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Bahasa Inggeris, kata Adenan merupakan satu-satunya bahasa komunikasi antarabangsa yang tulen dan diguna pakai di seluruh dunia.

” Menafikan kepentingannya bermakna negara ini akan ketinggalan sepuluh tahun ke belakang,” tambahnya.

Sehubungan itu, ujar Adenan, kini adalah tiba masanya untuk kita melaksanakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua negara, tanpa mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa kebanggaan kita.

Book of Asia merupakan program tajaan buku berkualiti oleh Yayasan Asia yang akan diedarkan secara percuma kepada perpustakaan, guru dan individu terpilih di negeri tersebut.

Sebanyak 19 ribu naskhah buku akan disumbangkan oleh yayasan tersebut, yang akan tiba ke Bumi Kenyalang pada penghujung Mac depan.

Turut hadir pada majlis ini Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani dan Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Abu Bakar Marzuki.

adenan satem 4