Program Rehiring benar PATI bekerja

KUALA LUMPUR: Pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini yang bekerja secara haram akan diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Menurut kenyataan media Kementerian Dalam Negeri yang dikirimkan kepada media semalam, program dinamalan “Program Rehiring” ini bertujuan untuk memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan pekerja di sektor pekerjaan yang dibenarkan.

” Ia juga membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI dalam negara untuk tujuan pemantauan dan memenuhi keperluan senario keselamatan semasa,” katanya semalam.

Program penggajian dan penempatan semula PATI ini menurutnya, akan dilaksanakan bermula hari ini hingga 31 Disember depan.

Program Rehiring menurut kenyataan itu lagi, akan dilakukan secara atas talian, dengan sepanjang tempoh tiga bulan pertama, ia akan dinilai dari aspek keberkesanannya termasuk elemen nilai tambah yang wajar dikemas kini demi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut bagi tempoh seterusnya.

” Program Rehiring akan dilakukan dengan berhati-hati dan terkawal supaya tidak berlaku kes-kes penipuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil peluang untuk mengaut keuntungan daripada PATI.

” Bagi tujuan ini, Kerajaan mengenakan syarat-syarat yang ketat terhadap PATI dan majikan untuk menyertai ini.

” Malah program ini juga memastikan mana-mana PATI yang tidak layak akan dihantar pulang ke negara asal mengikut prosedur sedia ada bagi memastikan pengurangan lambakan PATI dalam negara,” katanya.

Mana-mana majikan yang didapati menggaji PATI tanpa berdaftar di bawah Program Rehiring pula, akan dikenakan hukuman yang berat mengikut perundangan sedia ada melibatkan kesalahan menggaji PATI.

” Antara syarat utama Program Rehiring adalah PATI perlu mempunyai rekod kemasukan asal secara teratur ke Malaysia dan mempunyai majikan yang berkaitan serta bebas daripada sebarang rekod jenayah.

” Selain itu, pelaksanaan Program Rehiring adalah tertakluk kepada sektor yang dibenarkan sahaja serta tidak termasuk sektor luar dasar atau sektor yang dibekukan oleh Kerajaan.”

Menurut kenyataan itu lagi, permohonan untuk Program Rehiring oleh majikan dan PATI boleh dilakukan secara atas talian melalui portal www.rehiring.imi.gov.my.

” Syarat-syarat terperinci program turut boleh diperolehi di laman web yang sama.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut katanya, orang ramai boleh merujuk Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysi atau menghubungi talian 03 – 8880 1555. – SarawakVoice.com

notis pati