PRN Sarawak: Amanah tampilkan calon tempatan

KUALA LUMPUR: Selain DAP, PAS dam PKR, parti lain dari Semenanjung yang akan bertarung dalam Pilihan Raya Negeri di Sarawak pada 30 April nanti  ialah Amanah.

Parti serpihan PAS itu bakal mencuba nasib dengan keyakinan bahawa ia lebih baik daripada PAS.

Berbeza daripada PAS, Amanah melangkah lebih jauh, dengan meletakkan calon daripada pelbagai etnik, sesuai dengan demografi pengundi di Sarawak.

“Kalau ada peluang kita akan letakkan Cina, Dayak, dan cadangan itu akan diputuskan bersama Pakatan Harapan. Calon kita semua anak tempatan di Sarawak terdiri daripada pelbagai etnik,” kata Setiausaha Agung Amanah pada satu sidang media di Wisma Amanah di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Anuar Tahir berkata, Amanah “selangkah ke hadapan daripada PAS apabila meletakkan calon mereka daripada pelbagai kaum dan agama dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang, iaitu berbeza daripada PAS, walaupun mereka menawarkan calon bukan Islam, calon berkenaan tidak punyai keahlian penuh, seperti mana calon Amanah.”

Beberapa hari lalu, PAS mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi berbanding lima kerusi dalam pilihan raya negeri 2011.

Namun, PAS tewas dalam kesemua kerusi tersebut meskipun hampir menang di Beting Maru apabila hanya tewas dengan sekitar 350 undi.

Beliau berkata, Amanah kini sudah ditubuhkan di dua kawasan, dan menyasarkan untuk menubuhkan di lapan kawasan lagi.

Namun Anuar enggan menyatakan jumlah kerusi yang bakal ditandingi, dan menambah, perkara itu hanya akan diumumkan selepas persetujuan dicapai Pakatan Harapan.

Kata Anuar: “Allah menentukan kita tak tahu jumlah kerusi yang akan dipersetujui. Tetapi kalau ikutkan saya berpuluh-puluh kerusi kami mahu tandingi, tetapi kita perlu hormati keputusan Pakatan Harapan.”

Beliau mengakui bahawa Amanah menyertai pilihan raya untuk memperkenalkan parti yang dianggapnya “parti Islam progresif untuk bukan sahaja kepada orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam.”

Bagaimanapun, pemerhati politik Sarawak menjangka bahawa seperti PAS,  Amanah besar kemungkinan tidak mempunyai peluang untuk memenangi sebarang kerusi kerana sebagai parti baharu, ia tidak dikenali langsung. Lagipun, parti itu dianggap lebih kurang sama dengan PAS. – SarawakVoice.com