Pertelagahan  paksa BN kemukakan calon langsung

Apabila Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan akan kesediaanya untuk mempertimbangkan  calon langsung Barisan Nasional (BN)  pada pilihan raya Sarawak, ia membawa beberapa persoalan dan implikasi politik.

Pertama, adakah ia menggambarkan betapa seriusnya pertelagahan dalaman parti komponen BN?  Mengapakah  pertelagahan dalaman ini tidak dapat diselesaikan kurang 100 hari sebelum pilihan raya negeri Sarawak? Adakah pertelingkahan dalaman  komponen BN sahaja atau termasuk  parti yang menganggap mereka mesra BN seperti Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan TERAS?

Adakah ini mencerminkan  sikap mementingkan diri  dalam kalangan parti komponen BN yang masing-masing mahu pertambahan kerusi, sedangkan dari segi prestasi parti di tahap yang tidak membanggakan? Berapa ramai calon langsung BN bakal diletakkan oleh Pengerusi BN Sarawak tersebut?

Apa pun, strategi calon langsung BN bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah politik negeri Sarawak. Bagaimanapun langkah ini mempunyai implikasi politik tertentu yang  mempunyai pro dan kontra.

Sejarah Pemilihan Calon Langsung BN

Apabila kajian semula persempadanan dilakukan pada tahun 1996, kerusi parlimen Mambong   diwujudkan dan  diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).  Parlimen tersebut mempunyai dua kerusi, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengoh dan Tarat.  Bengoh diwakili oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) manakala DUN Tarat  diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang merupakan komponen BN. Kerusi tersebut mempunyai pengundi majoriti etnik Bidayuh.

Bagi mengelakkan perebutan kerusi dalam komponen BN, Tun Taib Mahmud yang ketika itu  Pengerusi BN Sarawak  melakukan  pemilihan langsung dengan memilih James Dawos Mamit  untuk menjadi wakil rakyat  kawasan Parlimen Mambong. Kerusi tersebut berupaya menjadi kerusi panas kerana terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching dan  isu nasional berkumandang kuat di Sarawak.

Hal ini kerana pilihan raya umum 1999 sangat  gentir akibat era reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri  Malaysia. Bagaimanapun kesan daripada pemilihan langsung oleh Pengerusi BN tersebut  menyebabkan James Dawos Mamit yang mewakili PBB berjaya menewaskan Jerip Susil yang mewakili parti STAR.

Pertandingan sengit disebabkan oleh faktor di peringkat  nasional tersebut menyaksikan James Dawos memperoleh 53 peratus undi yang membawa kepada kemenangan BN .

Sejarah politik Sarawak menunjukkan juga bahawa sejak awal tahun 1995, pemilihan langsung telah  dilakukan oleh Taib apabila Datuk Billy Abit Joo dipilih  mewakili  Parlimen Hulu Rajang. Sebelum itu,  Billy pernah  memenangi  kerusi parlimen atas tiket bebas pada pilihan raya 1990.

Pemilihan  Billy sebagai calon dan diikuti dengan  penyertaan dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS) dipersetujui oleh Taib ketika itu apabila melihat Billy  yang mempunyai komitmen dan pengaruh yang luar biasa terhadap pengundi luar bandar.

Parlimen Hulu Rajang pernah direkodkan sebagai  kawasan parlimen luar bandar yang terbesar di Malaysia, namun dapat dimenangi Billy tanpa mekanisme jentera kempen media dan dana.

Komitmen Billy  dapat dilihat  apabila merupakan antara ahli parlimen terawal  yang memperjuangkan kehidupan orang Penan termasuk  memohon  penyediaan hutan simpan khas untuk orang Penan.  Beliau juga satu-satunya, ahli parlimen BN yang menandatangi petisyen untuk mengkaji Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Keprihatinan dan  kepekaan mengenai masalah rakyat luar  bandar dan isu nasional ini membolehkan beliau menang dalam lima penggal pilihan raya, termasuk sepenggal sebagai calon Bebas.  Sukarkah  untuk mendapatkan calon seumpama Datuk Billy Abit Joo ini dalam BN Sarawak yang dapat ditaruhkan pada pilihan raya negeri akan datang?

Cabaran dan Hambatan

Sudah pasti, kriteria  dan kredibiliti calon langsung ini bukanlah diukur semata-mata berdasarkan hubungan baik dengan pemimpin parti. Penerimaan rakyat akar umbi merupakan kriteria utama, selain merupakan  calon berjiwa rakyat, meletakkan kepentingan rakyat  mengatasi kepentingan peribadi dan sanggup dianggap tidak popular semata-mata memperjuangkan keperluan dan  hak  pengundi di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Sesuai untuk  peremajaan parti, maka pembinaan barisan  kepemimpinan masa depan dengan mengenal pasti  calon-calon muda  yang kritis dan berkelayakan tinggi  perlu untuk dijadikan modal insan dan benteng masa depan BN Sarawak.

Difahamkan pembahagian kerusi  PBB dan  Parti Rakyat Sarawak (PRS) sudah pun dipersetujui. Hal ini mengesahkan bahawa  40 kerusi bakal ditandingi  oleh PBB dan  11 kerusi oleh PRS. Namun  yang masih menjadi  pertelagahan adalah  bagi kerusi SUPP dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang tidak mahu berkrompomi.

SUPP enggan membenarkan  19 kerusinya dipertandingan oleh  UPP.  SPDP  juga dikatakan enggan  untuk memberikan  mana-mana daripada lapan kerusi kepada Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS). Hal dapat difahami kerana PBB sekalipun tentu juga akan sukar berkrompomi perkara sedemikian berlaku.

Namun, kenyataaannya ialah  pilihan raya ialah medan memperoleh kerusi  sebanyak mungkin untuk dimenangi. Sekiranya, kerusi tersebut  panas  atau tidak mampu dimenangi berdasarkan  penyelidikan parti  misalnya, mengapa perlu  berterusan untuk mengeruhkan suasana politik?

Formula dan strategi perlu digerakkan  untuk  mengagihkan kerusi boleh dimenangi atau kerja lebih kuat parti dikerahkan dan bukannya  membiarkan krisis berpanjangan. Ataupun, adakah  parti yang bertelagah ini  mahu berisiko yang ada akhirnya terpaksa berputih mata apabila terlepas di tangan pembangkang akibat konflik berpaanjangan ini? – SarawakVoice.com