Pengundi Bidayuh sokong pembangkang?

Pengundi Bidayuh sokong pembangkang?

Daripada 2.7 juta penduduk Sarawak, terdapat 200,000 orang daripada masyarakat Bidayuh. Sebahagian besar terdapat di Bahagian Kuching dan Bahagian Serian. Terdapat lapan kerusi majoriti Bidayuh kesemuanya. Bagaimanakah pola pengundian kerusi Bidayuh dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 pada 30 April nanti?

Untuk itu, wartawan SarawakVoice.com, Awang Bolkiah Ali telah menemu bual Profesor Madya Dr Ahi Sarok, penganalisis politik yang juga pensyarah Program Kajian Politik dan Pemerintahan  di Universiti Malaysia Sarawak. Beliau, yang juga Presiden Sarawak Bidayuh Graduates Association (SBGA) merupakan pakar dalam politik Sarawak, khususnya berkaitan politik Bidayuh.

Tolong jelaskan tentang latar belakang kerusi Bidayuh.

Selepas pertambahan 11 kerusi  terdapat lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Bidayuh – Opar, Tasik Biru, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup, Serumbu dan Bukit Semunja – dengan dua yang terakhir merupakan kerusi baharu selepas proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimana pola pengundian dalam kalangan pengundi Bidayuh dalam PRN lepas?

Dalam PRN 2011, kalau kita analisis, keputusan pilihan raya, kesemua  kerusi memihak kepada calon Barisan Nasional, kecuali di kerusi Tarat. Majoriti yang dimenangi calon BN, Datuk Roland Sagah agak menurun.  Penurunan ini berpunca daripada faktor, kebanyakan pengundi Cina di  daerah mengundi Beratok dan Tapah memberi sokongan padu kepada calon PKR., iaitu Peter Ato. Begitu juga pengundi daripada masyarakat Bidayuh di kawasan Binah dan Biya di pedalaman hulu Pedawan. Mereka kebanyakannya menyokong calon PKR terbabit.

Puncanya?

Pertama, kawasan tersebut telah diabaikan oleh pemimpin BN.

Kedua, disebabkan, mereka ini membantah keputusan kerajaan untuk membangunkan Puncak Borneo, kerana kerajaan dianggap ambil tanah mereka tanpa memberi pampasan yang mencukupi. Mereka kecewa.

Pembangunan di Puncak Borneo tidak memberi banyak faedah kepada masyarakat tempatan. Justeru, mereka tidak memihak kepada BN. Ada daripada kawasan di hulu Pedawan, seperti Kampung Sapit, Kampung Keding, dan Kampung Kakas masih belum menikmati kemudahan asas seperti jalan raya dan elektrik. Mereka bergantung kepada air dari gunung.

Manakala di kawasan-kawasan lain  seperti di Opar, terdapat pertandingan empat penjuru antara calon BN, SNAP, PKR, dan calon Bebas. Ketika itu, PKR belum begitu kuat dari segi jentera akar umbi. Jadi, sokongan terhadap BN masih memuaskan.

Namun, sekarang, calon BN dari Opar, Ranum anak Mina, telah menyertai UPP.

Implikasnynya, mungkin pengundi BN akan berpecah dan perpecahan ini mungkin memihak kepada calon PKR, Franchis Teron Kadap.

 Bagi saya Ketua Menteri perlu umumkan calon BN lebih awal bagi  memastikan kemenangan berpihak kepada BN. Dalam keadaan sekarang, ada dua calon yang berminat, iaitu Niponi Udek dan juga Bily Sujang. Kedua-dua mereka ini telah turun padang. Rakyat keliru, tidak tahu siapa yang perlu disokong.

Adakah pola pengundian sedemikian akan kekal dalam pilihan raya negeri akan datang? Komen.

Besar kemungkinan akan berterusan sedemikian  khususnya di tempat-tempat yang dikuasai PBB, iaitu Tebedu, Kedup, dan juga Tarap. Maksudnya, pengundi akan menyokong calon PBB kerana mereka sudah tahu calon penyandang akan dikekalkan, dan mereka ini telah memperlihatkan prestasi yang baik.

Mereka sering turun padang, dan banyak bawa perubahan dan pembangunan ke kawasan yang diwakili. Rakyat puas hati dengan pencapaian mereka. Lagipun, wakil rakyat berkenaan merupakan menteri dan timbalan speaker kecuali ADUN Kedup. Dengan jawatan itu, memungkinkan mereka mendapat geran MRP yang lebih banyak untuk disalurkan ke kawasan.

Masyarakat Bidayuh mungkin tidak akan beri undi kepada parti dari Semenanjung  seperti DAP dan PKR atau PAS kerana boleh menggugat keharmonian kaum di Sarawak.

Apakah agaknya isu yang bakal dieksploitasikan oleh pembangkang?

Isu berkaitan kurangnya pembangunan di kawasan itu meskipun kita sudah merdeka lebih 53 tahun. Rakyat tertanya-tanya bila mereka akan dapat menikmati kemudahan seperti air bersih. Di kawasan Puncak Borneo, misalnya,  ada batang paip, tetapi belum dibekalkan dengan air yang bersih dari empangan Bengoh.

Isu lain yang bakal dimanipulasikan bergantung kepada kawasan. Setiap kawasan ada isu. Lebih banyak isu tempatan daripada isu nasional dijangka dimainkan. Misalnya, isu air bersih di kawasan luar bandar, jambatan menyeberangi Batang Kayan ke Kampung Selampit di kawasan Opar, isu pengambilan tanah di Tasik Biru untuk tujuan perladangan, dan isu pemberian hak milik tanah NCR di semua kawasan Bidayuh.

Namun, saya percaya, pembangkang akan manfaatkan isu-isu nasional seperti 1MDB, kenaikan harga barang, dan derma RM2.6 bilion, selain tentunya isu GST.

Bagaimana dengan nasib calon BN di Tasik Biru, Opar, dan Mambong kerana kita tahu ada perebutan kerusi?

Memang benar berlaku pertindihan dari segi agihan kerusi. Bagi Opar, UPP ialah penyandang, iaitu Ranum Mina, dengan dua bakal calon SUPP.

Mungkin akan berlaku pertandingan tiga penjuru, iaitu SUPP, UPP dan PKR.

Jika ini berlaku, mungkin boleh beri kelebihan kepada PKR. Di Tasik Biru pula, pertandingan empat penjuru mungkin berlaku, antara SPDP yang diwakili Datuk Henry Harry Jinep, seorang usahawan, penyandang Datuk Peter Nansian dari Teras,  Willy Boniface Tumek yang mewakili PKR, dan DAP Mordi Bimol.

Siapa yang akan menang?  

Kemungkinan besar yang akan menang ialah calon yang gunakan logo BN. Tetapi, majoritinya pasti berkurangan kerana undi besar kemungkinan akan pecah. Bagi Mambong pula, mungkin berlaku pertembungan empat penjuru antara calon SUPP yang belum diumumkan, kerana SUPP punya dua calon berpotensi,  iaitu pengerusi SUPP Mambong Kaunselor Ahkim Sahok, dan Dr Benedict Pores, pesara kerajaan.

UPP mungkin diwakili penyandang, Menteri Muda Kesihatan Sarawak  Datuk Jerip Susil, manakala Willie Mongin akan wakili PKR dan Sanjan Daik akan wakili  DAP. Kemungkinan yang akan berlaku di situ, pertembungan empat penjuru, dan yang dijangka menang, calon BN yang gunakan lambang BN.

Ada dua kerusi baharu majoriti Bidayuh, Serumbu dan Bukit Semunja. Bagaimana harapan BN di kerusi baharu tersebut?

Serumbu besar kemungkinan dimenangi BN sebab ramai ahli BN di kawasan itu, dan masyarakat Cina hanya 18 peratus daripada pengundi berbanding dengan Bukit Semunja, 35 peratus pengundi Cina.

Saya jangkakan di Bukit Semunja pengerusi BN kemungkinan akan gunakan strategi calon langsung bagi memungkinkannya memenangi kawasan itu. Di Serumbu, nama yang disebut-sebut di akar umbi yang bakal bertanding mewakili BN ialah Residen Bahagian Serian, Dahim Nadot. Bagi pembangkang PKR dijangka kemukakan calon. – SARAWAKVOICE.COM