KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hari ini memberi jaminan bahawa tiada lagi anak tentera yang akan ke sekolah dengan menaiki trak tiga tan.

” Mereka akan diberikan kemudahan menaiki bas sekolah yang lebih selesa dan selamat, ” katanya sambil mengakui kemudahan feri sekolah ini akan dimanfaatkan oleh 11,725 anak tentera di seluruh negara.

Hishamuddin ketika membaca perutusan tahun baharu kementeriannya hari ini berkata, jaminan ini penting bagi mengukuh keyakinan kepada warga tentera bahawa keselamatan anak-anak mereka sentiasa terjamin, khususnya ketika mereka terpaksa berjauhan dari keluarga akibat tuntutan tugas di perbatasan negara.

Feri sekolah menggunakan trak tiga tan sebelum ini disediakan lengkap dengan pemandu dan pengiring untuk mengambil dan menghantar anak-anak anggota tentera dari Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) atau lokasi yang ditetapkan ke sekolah-sekolah pada sesi persekolahan pagi dan petang.

Berkaitan RKAT, Hishamuddin berkata, sebanyak 4,000 unit RKAT akan dibina di 11 lokasi seluruh Malaysia menerusi Rancangan Malaysia ke-11.

” Ia akan dibina dengan peruntukan permulaan sebanyak RM160 juta pada tahun ini.

” Tetapi jumlah keseluruhan untuk pembinaan 4,000 unit RKAT ini pada sepanjang RMK-11 adalah sebanyak RM1.2 billion,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, sebanyak RM18.357 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk projek senggaraan RKAT di seluruh negara.

” Menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) My Beautiful Malaysia tahun 2015, peruntukan sebanyak RM33.43 juta telah disalurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membaik pulih dan menyelenggara kuarters-kuarters milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, Laut dan Udara di  tujuh lokasi,” katanya.

Difahamkan lokasi yang terlibat ialah Kem Tentera Darat Temerloh, Kem Tentera Darat Kuantan, Kem Tentera Darat Port Dickson, Desa Tun Hussien Onn Kuala Lumpur, Pangkalan Udara Kuantan, Stesen Komunikasi TLDM Parit dan Stesen Komunikasi TLDM Sitiawan.

Manakala bagi tahun 2016, KPKT telah memperuntukan sebanyak RM5.3 juta  bagi menampung projek tahun 2015 dan sebanyak RM3.57 juta untuk senggaraan baru bagi RKAT di Kem Penrissen.

Kata Hishamuddin lagi, pada tahun ini,  Kementerian Pertahanan turut memperkenalkan inisiatif Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) untuk memberi pengiktirafan kepada anak-anak tentera yang mencapai tahap kecemerlangan dalam bidang akademik di peringkat PT3, SPM dan universiti.

” Pemberian anugerah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM600,000.00 ini telah dianjurkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Majlis ini diadakan serentak seluruh negara pada bulan Ogos setiap tahun,” jelasnya.

Pads masa yang sama katanya,  perkhidmatan Pusat Asuhan Anak Warga ATM juga aman diperkenalkan bermula pada Jun depan di kem-kem ATM seluruh negara.

” Pelaksanaan perkhidmatan ini akan memberi manfaat dan membuka peluang pekerjaan kepada isteri anggota yang tidak bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

”  Anak-anak juga akan berada di tempat yang selamat,” jelasnya.

Kementerian Pertahanan katanya lagi, sedang merangka pelaksanaan Program Doktor Falsafah Pengurusan dengan kerjasama Universiti Malaya dan akan dimulakan pada tahun 2017.

” Program ini adalah usaha berterusan Kementerian Pertahanan dalam meningkatkan kualiti modal insan dalam kalangan warga tentera yang bakal menjana kecemerlangan organisasi.

” Pada masa yang sama, ia juga akan meningkatkan tahap intelektual pegawai tentera dan menyumbang kepada kemampanan organisasi,” tambahnya lagi. – SarawakVoice.com