Hisham umum struktur gaji baharu tentera

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hari ini mengotakan janjinya dengan mengumumkan beberapa inisiatif serta pendekatan kerajaan dalam menambah baik aspek kebajikan anggota dan veteran tentera serta keluarga mereka.

Antara inisiatif tersebut termasuklah meluluskan penambahbaikan sistem Tred dan Band ATM dengan menstruktur semula tred sedia ada.

Dengan penambahbaikan ini katanya, diharap ia akan membantu membentuk sebuah angkatan yang kredibel, dan mampu mengadaptasi perubahan lanskap peperangan dan peningkatan teknologi aset ATM ketika ini.

” Pada masa yang sama, ia juga diharap dapat memastikan semua anggota tanpa mengira tred mempunyai taraf pengetahuan dan kemahiran yang tinggi serta berpeluang untuk mencapai peningkatan band yang tertinggi sehingga Band 5,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pagi ini.

Sistem Tred dan Band ATM merupakan sistem saraan yang menjadi asas penetapan gaji bagi setiap anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), dengan gaji dibayar pada lima peringkat band, mengikut tahap ketukangan atau kemahiran anggota.

Berdasarkan sistem sedia ada, hanya anggota yang mempunyai kemahiran dalam tred tertentu sahaja yang boleh memperoleh peningkatan band yang tinggi sehingga ke tahap maksimum Band 5.

Menurut Hishamudddin, kelulusan pemakaian Band 5 bagi semua ketukangan akan melibatkan sebanyak 131 tred anggota LLP dalam Sistem Tred dan Band ATM.

” Seramai 76,771 atau 70 peratus anggota LLP yang sedang berkhidmat akan memperoleh manfaat ini berkuat kuasa 1 Julai 2016.

Penambahbaikan ini katanya, akan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM58.89 juta.

Yang jelas kata Hishamuddin, kelulusan ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi peningkatan gaji anggota, malah ia merupakan satu bentuk pengiktirafan Kerajaan terhadap kepakaran yang dimiliki oleh anggota kerana secara tidak langsung ia mengiktiraf kesemua tred LLP sebagai berkepakaran tinggi.

Di samping anggota yang masih dalam perkhidmatan, Kerajaan tambahnya, juga tidak ketinggalan mengiktiraf kepakaran anggota yang telah menamatkan perkhidmatan sejak 1 Januari 2013.

” Untuk itu, kerajaan meluluskan pemberian satu kenaikan band secara one-off bagi tujuan pengiraan faedah persaraan kepada anggota di tred yang tidak boleh mencapai kenaikan ke band 4 dan 5 sebelum ini.

Pemberian ini jelasnya, adalah sebagai penghargaan kepada sejumlah 19,436 orang anggota LLP yang berkelayakan dan telah menamatkan perkhidmatan mulai 1 Januari 2013 hingga 30 Jun 2016.

Anggaran implikasi kewangan bagi pemberian satu kenaikan band secara one-off ini ini adalah sebanyak RM56.62 juta.

” Saya amat gembira dengan kelulusan ini kerana ia akan meningkatkan gaji, seterusnya memberi duit lebih untuk perbelanjaan anggota dan keluarga, terutama dalam situasi ekonomi yang perit sekarang.

Pada masa yang sama katanya, ia memberi ruang dan peluang untuk anggota yang sebelum ini tidak dapat mencapai Band 5 untuk menaik taraf kepakaran dan kemahiran mereka.

Selain itu kata Hishamuddim, inisiatif ini akan membuka lebih lagi peluang pekerjaan kepada para anggota dalam sektor swasta apabila mereka pencen kelak.

” Ini adalah bukti bahawa kerajaan amat peka dan mengiktiraf anggota tentera serta veteran, kerana yang telah pencen sejak 1 Januari 2013 pun turut diluluskan satu kenaikan band secara one-off bagi pengiraan faedah persaraan,” jelasnya.

Hishamuddin pada pertemuannya dengan pegawai dan anggota tentera yang berpangkalan di Kuching Khamis lalu, berjanji untuk mengumumkan gaji baharu tentera pada hari ini, sebagai membalas budi jasa dan komitmen mereka mempertahankan tanah air. – SarawakVoice.com