Etnik minoriti ke DUN Sarawak

Di bawah sistem agihan kerusi seperti diamalkan sekarang, etnik minoriti sering dipinggirkan. Mereka dilayan seolah-olah bagai melukut di tepi gantang. Ada tidak bertambah, tiada tidak berkurang.

Sarawak, punya 27 kumpulan etnik daripada 2.7 juta penduduk. Tetapi, sering etnik minoriti bagai tidak punya suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat.

Mungkinkah semua itu akan berubah menjelang pilihan raya negeri Sarawak ke-11? Seolah-olah ada harapan baharu untuk etnik minoriti sesudah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), baru-baru ini.

Pertambahan 11 kerusi baharu — menyebabkan jumlah kerusi bertambah kepada 82, terbanyak di negara ini. Kesan positif proses persempadanan semula itu meskipun banyak dikritik kerana amalan gerrymandering yang ketara, ialah kemungkinan akan ada penyertaan daripada etnik minoriti.

Kebanyakan kerusi baharu itu terletak di luar bandar dan pedalaman.

Kerusi itu diwujudkan daripada pemecahan kawasan sedia ada, menjadikan jumlah pengundi di kerusi asal, jauh berkurangan. Kerusi baharu itu, ada daripadanya hanya punya sekitar 7,000 pengundi.

Dengan pertambahan kerusi baharu, mungkinkah etnik seperti Kayan dan Kenyah atau Kelabit akan terangkum dalam DUN nanti?

Etnik minoriti Sarawak tidak banyak diketahui mereka di Semenanjung atau Sabah. Tetapi, ada daripada etnik ini yang walaupun kecil saiznya — hanya sekitar 6,000 orang, seperti etnik Kelabit, namun mereka begitu berjaya. Pencapaian cemerlang dalam pendidikan melonjakkan mereka dalam susun lapis sosial.

Sebelum ini ada pusat mengundi yang hanya punya tujuh orang pengundi di kawasan pedalamam, didiami etnik minoriti. Tetapi SPR atas tanggungjawabnya, perlu membuka pusat berkenaan meskipun kosnya tinggi, selain kesukaran dari segi perhubungan.

Mungkin sahaja calon daripada etnik terbabit akan bertanding di kerusi baharu nanti, terutama di Murum dan Mulu?

Penganalisis dan pemerhati politik Sarawak percaya bahawa kerusi Mulu akan diserahkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Mulu merupakan hasil persempadanan semula kawasan Ba Kelalan dan Telang Usan.

Kerusi baharu itu mempunyai 8,000 pengundi terdiri daripada etnik Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan, dan juga Iban.. Justifikasinya, kawasan terbabit dari segi tradisi merupakan kawasan didiami penyokong tegar parti tulang belakang BN Sarawak itu.

Memang, tidak ada masalah untuk mencari calon berpotensi dan mampu menang daripada kalangan etnik minoriti terbabit. Mungkinkah nama besar dalam komuniti itu seperti  Dr Philip Raja, Datuk Ose Murang dan Datuk Isaac Lugun antara calon berpotensi ditampilkan?

Bagaimana dengan kerusi Murum? Kalau kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing awal minggu ini diambil kira, ada kemungkinan seorang calon daripada ethik Kenyah bakal mewakili kerusi terbabit.

Sesungguhnya, kalau benar Chuk Pai dicalonkan pada 18 April nanti, iaitu hari penamaan calon, maka ini kali pertama dalam sejarah etnik berkenaan menjadi calon sejak 53 tahun lalu.

Itu tentu berita baik untuk masyarakat Kenyah kerana mereka merupakan 34 peratus daripada komposisi pengundi di Murum.

Mungkinkah Chuk, yang punya pengalaman luas bergerak di peringkat akar umbi atas platform PRS itu menepati ciri-ciri calon mampu menang, sekali gus mengangkat suara dan martabat etnik minoriti Kenyah?

Jika dua etnik itu ditampilkan menjadi calon dalam pilihan raya 30 April nanti, tentu ini akan menambah warna kepada politik Sarawak.  

Demokrasi menjadi lebih bermakna kerana suara etnik minoriti jauh di pedalaman juga mendapat tempat di DUN Sarawak. Merekalah yang paling layak menyuarakan masalah dan aspirasi masyarakat minoriti di pedalaman.

Mereka tidak akan lagi  sekadar berada di pinggiran. – SarawakVoice.com