DAP hadapi cabaran besar dalam PRN Sarawak

KUCHING: DAP dijangka berdepan cabaran lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 30 April depan.

Berbeza daripada pilihyan raya ke-10 pada 2011, kali ini  Pengerusi DAP Sarawak  mengakui sukar untuk memenangi pilihan raya itu, apalagi hendak  menafikan Barisan Nasional (BN) kemenangan dua pertiga.

“Tiada persoalan lagi, Ketua Menteri Tan Sri Adenan akan terus berkuasa selepas pilihan raya nanti,”akui Chong Chien Jen kepada wartawan yang membuat liputan acara rumah terbuka  Tahun Baharu Cina DAP di sini, semalam.

Dalam pilihan raya lalu, pembangkang memenangi 16 kerusi, dengan DAP meraih 12, Parti Keadilan Rakyat  (PKR) tiga, dan Bebas satu.

Pembangkang mengakui populariti Adenan ekoran sekitar 50 langkah dan dasar yang diambil beliau, dan dasar tersebut termasuk mengiktiraf Sijil  Peperiksaan Bersepadu (UEC), mengurangkan tarif elektrik, membanteras kegiatan pembalakan haram, dan menghapuskan tol diterima baik rakyat.

Bagi menafikan BN majoriti dua per tiga, pakatan pembangkang perlu memenangi sekurang-kurang 28  daripada 82  kerusi yang dipertandingkan.  Kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak bertambah daripada 71 kepada 82 selepas pertambahan 11 kerusi baharu, ekoran proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain berdepan masalah saiz Sarawak yang luas, DAP  mungkin  bertembung dengan PKR di beberapa kawasan, termasuk di kerusi baharu Batu Kitang.

Chong berkata bahawa kempen DAP di kawasan bandar bakal tertumpu kepada isu nasional serta pentingnya peranan pembangkang yang kuat bagi proses semak dan imbang.

Sementara itu, Bernama melaporkan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha menarik masyarakat Cina kembali menyokong parti gabungan itu dengan menggalakkan pemimpinnya mendekati mereka bagi memahami permasalahan dan kehendak mereka, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Saya percaya masyarakat Cina akan kembali bersama kerajaan kalau kita (pemimpin) rapatkan diri dengan rakyat, menyelami hati rakyat, merasa nadi rakyat dan ketahui apa yang mereka mahukan.

“(Untuk itu) pelbagai usaha dilakukan kerajaan antaranya dengan mewujudkan program dan peluang melibatkan pemilikan rumah, perniagaan dan banyak lagi demi kebaikan rakyat,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu kepada pemberita pada Kenduri 1Wilayah Persekutuan (Kenduri 1WP) di Bukit Bintang di Kuala Lumpur, malam tadi. – SarawakVoice.com