KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak memerlukan barisan pembangkang yang efektif sebagai “pemeriksa dan pengimbang” apa jua yang dicadangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, Tan Sri Adenan Satem telah melakukan kerja yang baik dan cemerlang, hingga menyukarkan peluang pembangkang untuk menggugat pada pilihan raya akan datang.

” Tetapi sejauh mana Adenan dapat bekerja seorang diri?

” Adenan seorang tidak akan dapat mengubah nasib dan haluan Sarawak!” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Kota Sentosa dekat sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Chieng Jeng, perlu untuk sokongan yang utuh diberikan kepada pembangkang bagi membentuk pasukan yang efisien dalam sidang DUN akan datang.

” Kami yakin tidak akan dapat menukar kerajaan, tetapi kami yakin dapat menjadi pembangkang yang benar-benar efektif,” katanya lagi.

Pada pilihan raya negeri 2011, DAP yang mempertaruhkan banyak profesional muda, menang 12 kerusi dan mengalahkan banyak calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) termasuk Presidennya, Tan Sri George Chan Hong Nam.

Chong optimis bahawa parti itu akan mempunyai lebih wakil dalam DUN Sarawak selepas pilihan raya negeri akan datang. – SarawakVoice.com