KUCHING: Dua wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) minggu lalu bertindak mencabar pertuduhan yang diambil ke atas mereka kerana terlibat dalam aktiviti demonstrasi Bersih 4.0.

dap cabar 3Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan pada Jumaat memohon penjelasan dan deklarasi mahkamah sama ada Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 berkaitan protes jalanan bercanggah dengan Artikel 10(1)(b) dan 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Chong Siew Chang yang mewakili kedua-dua wakil rakyat terbabit membuat permohonan semakan di dalam mahkamah yang sama mereka dituduh terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Pada Disember tahun lalu, kedua-dua mereka dituduh terlibat dalam perhimpunan haram ketika berlangsungnya demonstrasi Bersih 4.0 di hadapan Hakim Steve Ritikos, Mahkamah Sesyen Kuching.

Kedua-duanya dituduh terlibat dalam perhimpunan haram pada 29 Ogos lalu, sekitar jam 2 hingga 3 petang di hadapan sebuah hotel di Jalan Borneo dan berarak menuju ke padang ragbi Song Kheng Hai.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut bersama-sama beberapa individu lain.

Siew Chang berkata, jika didapati semakan Seksyen 4 (2)(b) Akta Perhimpunan Aman ini melanggar Perlembagaan Persekutuan maka tuduhan terhadap kedua-dua plaintif adalah tidak sah.

” Permohonan ini dibawa ke mahkamah yang sama agar mudah untuk dirujuk ke Mahkamah Tinggi, kerana ia berkaitan dengan perlembagaan.

” Kita memohon maklumat lanjut dan kita akan menjelaskan alasan kita apabila sesi pendengaran bermula,” katanya.

Chong dan Tan berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman dengan hukumannya di bawah Seksyen 49(3) Akta yang sama. Sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM10 ribu.

Mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2 ribu dan belum menerima pengampunan, hilang kelayakan bertanding dalam mana-mana pilihan raya. – SarawakVoice.com

dap cabar 2