SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bersedia untuk bertukar kerusi dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada pilihan raya negeri akan datang jika kedua-dua pihak berasakan peluang atau prospek memenangi kerusi masing-masing adalah lebih baik.

Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, partinya bersedia pada bila-bila masa untuk duduk semeja, berbincang dengan SUPP mengenai pertukaran kerusi tersebut jika kedua-dua pihak bersetuju.

Tanpa mendedahkan kerusi mana yang disasarkan untuk pertukaran ini, Tiong menjelaskan, pihaknya bersedia untuk bekerjasama di kerusi-kerusi di kawasan tengah Sarawak terutama di Sibu.

” Kami mungkin boleh bekerja bersama di kawasan Dudong, Meradong, Repok dan juga Pelawan.

” Itu pun jika SUPP mahu duduk dan berbincang bersama-sama kita,” katanya yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SPDP di Dewan Suarah Sibu, di sini.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, pihaknya bersedia untuk membantu apa sahaja yang termampu termasuk bertukar kerusi untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dan memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, parti itu telah bersedia sepenuhnya dan jentera pilihan raya telah bergerak sepenuhnya di peringkat akar umbi termasuk di kawasan seperti Marudi, Meluan, Tasik Biru dan Pakan.

” SPDP berhasrat bertanding di semua lapan kerusi yang menjadi tradisi parti itu selain menyasarkan dua kerusi baharu iaitu di Mulu dan Samalaju,” katanya.
Tambahnya, SPDP wajar bertanding di kawasan tersebut memandangkan mereka mempunyai sokongan akar umbi, terutamanya di kawasan Samalaju yang mempunyai antara 5 hingga 6 ribu ahli. – SarawakVoice.com