SANTUBONG: Di sebalik masalah perebutan kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, pengerusinya perlu memikirkan ramuan terbaik untuk memastikan masalah berkenaan tidak berlarutan sehingga menjejaskan peluang BN memenangi kerusi terbabit.
Untuk itu, Tan Sri Adenan Haji Satem sedang mempertimbangkan untuk menggunakan pendekatan yang pernah digunakan BN sebelum ini, iaitu menampilkan calon langsung.
Adenan berkata, formula calon langsung BN pernah digunakan pada pilihan raya Parlimen sebelum ini yang membabitkan Datuk Seri James Dawos Mamit di Mambong dan Datuk Billy Abit Joo di Ulu Rajang.
“Perkara ini sedang dipertimbangkan bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti-parti komponen BN,” katanya selepas merasmikan penutupan seminar persediaan jentera pilihan raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, sekitar 40 kilometer dari bandaraya Kuching.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah calon langsung BN yang akan bertanding nanti.
Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masingnya sedang berdepan isu perebutan kerusi dengan parti serpihan, iaitu Parti Bersatu Rakyat (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).
Kedua-dua pemimpin parti komponen terbabit berkeras tidak akan menyerahkan sebarang kerusi kepada parti serpihan berkenaan kerana menyifatkan mereka bukan komponen BN.
Keadaan ini, mengikut pemerhati politik menyulitkan BN memenangi kerusi terbabit dalam pilihan raya dijangka 30 April depan.
Menjadi cabaran kepada Adenan bagaimana menyelesaikan itu dengan berkesan bagi mengelakkan sabotaj sehingga merugikan BN, dan menguntungkan parti lawan terutama DAP di kawasan bandar.
SUPP dalam pilihan raya 2011 diperuntukkan 19 kerusi dan kalah 13 kerusi, manakala SPDP diperuntukkan lapan kerusi, dan tewas di dua kerusi, iaitu Ba Kelalan dan Kerian. – SarawakVoice.com