PRN Sarawak:  Adakah pengundi Cina akan terus mencintai DAP?

 

‘Pengundi Cina tidak rugi apa-apa jika mereka mengambil keputusan mengekalkan sokongan kepada DAP di Sarawak seperti mana yang mereka lakukan semasa Pilihan Raya Negeri 2011 (PRN ke 10) yang lalu. Mereka tinggal di kawasan bandar yang telah lengkap semuanya dari segi infrastruktur dan pembangunan. Kepada mereka politik pembangunan tidak penting sepertimana kepada pengundi luar bandar.

Apa yang penting kepada mereka adalah soal keadilan sosial (layanan yang sama dengan bumiputera), tadbir urus yang baik, peningatan dalam kualiti hidup dan pemimpin yang dapat mempertahankan identiti mereka’.

Demikian ringkasan yang diberikan oleh seorang pengkaji politik Sarawak apabila ditanya mengenai jangkaan pola sokongan pengundi Cina dalam PRN ke 11 yang bakal diadakan pada penghujung April 2016 ini.

Kali terakhir PRN diadakan di Sarawak ialah pada 16 April 2011 (PRN ke 10). Keputusan PRN ke 10, menunjukkan BN negeri di bawah pimpinan Pehin Sri Taib Mahmud menang majoriti 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan – tewas 15 kerusi kepada pakatan pembangkang, masing-masing 13 (DAP), 2 (PKR) dan 1 (Bebas).

Walaupun BN Sarawak mengekalkan kemenangan dua pertiga majoriti, namun undi popular yang diperolehinya merosot kepada sebanyak 7.5 peratus (daripada 62.9 peratus semasa PRN ke 9 kepada 55.4 peratus semasa PRN ke 10), iaitu prestasi terburuk BN selepas tahun 1974.

Memandangkan parti-parti politik di Sarawak ditubuhkan berdasarkan etnik dan bertanding di kawasan etnik masing-masing, maka sokongan terhadap parti sering kali dikaitkan dengan sentimen etnik. Semasa PRN ke 10, tonggak BN Sarawak, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) – mewakili Melayu/Melanau dan Dayak- bertanding di 35 kerusi DUN dan menang di semua kerusi tersebut. Parti Rakyat Sarawak – mewakili Dayak (Iban, Bidayuh dan Orang Ulu) – bertanding 9 kerusi dan menang 8 kerusi. Parti Progresif Demokratik Sarawak  (SPDP) – mewakili Dayak dan Cina – bertanding 8 kerusi dan menang 6 kerusi.

Dan akhirnya Sarawak United People Party (SUPP) – mewakili etnik Cina – bertanding 19 kerusi dan menang hanya 6 kerusi. Sebanyak 12 kerusi yang pernah diwakili SUPP tewas di tangan parti DAP.

Untuk PRN ke 11, sebanyak 11 kerusi baharu telah diperkenalkan di DUN Sarawak , menjadikan 82 kesemuanya. Daripada 11 kerusi tersebut, PBB mendapat lima kerusi menjadikan keseluruhan kerusi PBB kepada 40. Andai kata PBB menang semua kerusi yang ditandinginya, PBB hanya kurang dua kerusi untuk menang majoriti mudah, membentuk kerajaan negeri secara sendirian.

Namun begitu, PBB sentiasa mengamalkan konsep integrasi atau perkongsian kuasa dan sebab itulah BN sarawak dapat bertahan kukuh sehingga kini.

BN negeri telah melakukan perubahan pucuk pimpinan apabila Tan Sri Hj Adenan Satem dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kelima menggantikan Taib Mahmud pada 28 Februari 2014.

Dalam usaha untuk mengekalkan kemenangan dua pertiga majoriti di DUN Sarawak menjelang PRN ke-11, Adenan perlu menyelesaikan masalah yang membelenggu dua lagi rakan BN negeri, iaitu SUPP dan SPDP.

SUPP berhadapan parti serpihan,  iaitu United People’s Party (UPP) dan SPDB juga berhadapan dengan serpihan iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS). UPP dan TERAS mendakwa sebagai parti ‘mesra BN, ’ tetapi ada pemerhati politik menganggap ‘kemesraan’ itu akan teruji sekiranya calon-calon mereka tidak diletakkan kembali bertanding di kerusi yang mereka pernah menang, sekali gus ikut sama bertanding sebagai calon ‘bebas’ menjadi ‘boneka tajaan’.

Sebagai kaedah penyelesaian, Adenan pernah membayangkan untuk meletakkan calon langsung BN seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Yang jadi masalahnya ialah, sekiranya salah satu parti (SUPP atau UPP) turut meletakkan calon ‘Bebas’.

Jika soal pengagihan kerusi membabitkan kepentingan kedua-dua parti itu tidak diselesaikan, ia akan terus menjadi hambatan besar kepada BN Sarawak untuk mendapatkan semula undi Cina. Sudah pasti pihak yang akan mengaut keuntungan dalam pergeseran tersebut ialah DAP.

Adenan Satem dengan gayanya yang bersahaja disenangi ramai dan amat popular pada masa ini. Semenjak memegang tampuk pemerintahan sepanjang dua tahun lalau, banyak inisiatif dan tindakan berbentuk ‘reformis’ telah beliau lakukan untuk mengangkat kembali populariti BN Sarawak.

Antaranya ialah mengambil tindakan tegas terhadap pembalakan haram, menurunkan tarif elektrik, menghapuskan kutipan tol di Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan Asean di Sungai Limbang, penggunaan bahasa Inggeris selain bahasa Malaysia untuk berurusan dengan jabatan kerajaan, menambahkan peruntukan pembangunan luar bandar dan banyak lagi.

Adenan menganggap dirinya pemimpin untuk semua kaum di Sarawak, bukan pemimpin bagi kaum tertentu sahaja.  Kepada masyarakat Cina, Adenan Satem menyatakan mereka tidak boleh dianggap sebagai pendatang, sebaliknya mereka ialah ‘anak Sarawak’ yang telah banyak berjasa dalam membangunkan negeri ini.

Kerajaan Sarawak berjanji untuk terus memberi sokongan dan bantuan terhadap pelajaran masyarakat Cina, termasuk cuba mendapatkan pengiktirafan sijil Unified Examinatian Certificate (UEC) bagi lepasan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina daripada Kerajaan Persekutuan.

Meskipun UEC diiktiraf oleh universitui luar negara, termasuk Universiti Oxford dan Universiti Cambridge, sijil berkenaan tidak diiktiraf kerajaan kita untuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi awam dan permohonan bagi jawatan dalam perkhidmatan awam.

Isu UEC sentiasa mengguris hati masyarakat Cina dan sering dieksploitasikan DAP ketika menjelang pilihan raya. Akhirnya,  kita lihat Adenan telah mengambil keputusan drastik dengan menumumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mengiktiraf UEC. Malah, beliau menyifatkan tindakan kerajaan pusat tidak mengiktiraf UEC sebagai ‘’bodoh’.

Alasan yang beliau berikan ialah lulusan UEC akan berhijrah keluar negara jika kerajaan tidak mengiktirafkan sijil berkenaan dan di sesetengah sekolah terdapat lebih 90 peratus pelajarnya terdiri daripada Bumiputera.

Adakah kilauan sinar yang ada pada Adenan Satem berupaya menarik kembali sokongan pengundi Cina kepada BN? Atau pengundi Cina akan terus bersama DAP?

Dalam konteks Sarawak, usaha mendapatkan kembali sokongan pengundi Cina bukanlah terletak di bahu Adenan sahaja, malah SUPP juga mestilah berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hati dan minda pengundi Cina.

Sebelum ini, SUPP berhadapan dengan masalah imej parti yang teruk. SUPP dilihat gagal menyelesaikan pelbagai masalah yang menyelubungi masayarakat Cina, tidak berupaya mengekang dominasi PBB, perebutan kuasa dalaman parti dan gagal dalam menyaingi kemahiran dan strategi kempen parti DAP.

Isu-isu kempen negatif terhadap BN yang dibangkitkan oleh DAP gagal dijawab dengan menyakinkan oleh SUPP. Sebagai pengundi bandar, isu-isu dan kehendak pengundi Cina banyak berbeza dengan pengundi di luar bandar. Di luar bandar, pengundi masih menghargai pembangunan, bantuan kewangan, projek baik pulih rumah, menaik taraf jalan raya dan sebagainya.

Apa yang diharapkan oleh pengundi bandar ialah calon yang boleh mengartikulasikan hasrat mereka, mengangkat nilai-nilai yang mereka sanjung iaitu tadbir urus yang baik, kualiti hidup yang lebih baik dan seumpanya.

Apa yang diharapkan, SUPP dapat bangkit kembali selepas PRN ke-10 yang lalu dan tidaklah setenat MCA dan Gerakan di Semenanjung yang masih lagi berada dalam Wad ICU, walaupun PRU ke 13 telah lama berlalu. – SarawakVoice.com