KUCHING: ” Jenayah tetap jenayah. Walau apa cara sekali pun mereka hendak menutup kes, berkahwinkah atau tarik balik laporan, kes itu tetap berjalan.”

Itu ketegasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berhubung isu lelaki yang mengahwini remaja bawah umur yang dirogolnya sebagai menutup kes.

Malah perkahwinan mengikut adat itu dilakukan selepas kes tersebut mendapat liputan meluas sedikit masa lalu.

Rohani menjelaskan, rogol dan kahwin adalah dua isu yang berbeza.

” Undang-undang tetap dilaksanakan. Kes jenayah ini tetap diproses dan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Pendakwaraya.

” Hanya mereka yang dapat menentukan sama ada kes tersebut boleh diteruskan atau tidak,” katanya yang ditemui pada majlis penerangan dan sidang media sempena Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan 2015) petang semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Malaysia, Encik Arfan Sulaiman.

ROHANI

Rohani menjelaskan, pindaan tersebut turut mencadangkan hukuman yang bakal dilaksanakan, dengan meminimumkan tindakan memasukkan pesalah juvana ke institusi kebajikan.

” Kebanyakan hukuman digantikan dengan arahan khidmat komuniti kerana kita tidak mahu sesuatu yang menyakitkan kekal sebagai hukuman kanak-kanak bawah umur ini.

Katanya, sebarang bentuk hukuman yang bakal dilaksanakan dalam pindaan rang undang-undang baharu ini mengambil kira usaha untuk memulihkan kanak-kanak terbabit, bukan menghukum.

” Kita percaya bahawa semangat ini akan menukarkan mereka menjadi insan yang baik,” katanya.

Selain khidmat komuniti, tambahnya kanak-kanak terbabit juga akan menjalani proses evaluasi oleh pegawai akhlak, sebelum menjalani proses kaunseling.

Pada masa yang sama, katanya kaedah ini turut membolehkan para pesalah terus membesar di sisi keluarga, dan memperkukuh ikatan kasih sayang antara mereka.

Pindaan rang undang-undang ini akan melalui proses bacaan kali kedua pada Mac depan, dan dijangka akan menjadi perbahasan hangat. – SarawakVoice.com