Lelaki gantung diri di dalam rumah

KUCHING: Seorang ibu resah apabila bilik tidur anak lelakinya ditutup rapat, dan tidak dibuka walau diketuk berkali-kali.

Lelaki 28 tahun itu kemudiannya  ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam bilik rumah keluarganya di Kampung Semariang Batu di sini, malam kelmarin.

Mengikut sumber, lelaki itu mengalami tekanan emosi berpunca daripada masalah peribadi.

Mangsa yang punya seorang anak ditemui meragut nyawa sendiri sekitar pukul 7 malam oleh ibunya yang risau selepas mangsa mengurung di dalam bilik berkenaan.

Ibunya yang amat terkejut dengan kejadian itu segera meminta bantuan keluarganya.

Kejadian itu menggemparkan penduduk  di sekitar.

Mayat mangsa diturunkannya dari tali gantung dan membawanya ke hospital swasta. Doktor mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

Beberapa anggota dari balai polis berdekatan bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan kejadian itu.

Siasatan dijalankan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Keluarga mangsa telah membuat laporan polis, sementara pihak polis mengklasifikasikannya  sebagai kes mati mengejut. – SarawakVoice.com