KUCHING: Sikap sambil lewa Kerajaan Barisan Nasional (BN) melambat-lambatkan projek tebatan banjir Fasa 2 di bandar raya ini menyebabkan banjir besar melanda lagi baru-baru ini.

Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping berkata, ini mencerminkan sikap mereka yang membelakangkan kepentingan rakyat meskipun Parti Tindakan Demokratik (DAP) berulang kali mendesak supaya ia disegerakan.

” Akibatnya, beberapa lokasi yang kerap ditenggelami banjir gagal menampung limpahan air dan menyebabkan banjir besar melanda Kuching,” katanya.

Lima kawasan rendah yang dimaksudkan Kok Ping termasuklah Sungai Sarawak Kanan di Buan Bidi, Jambatan Bau, Sungai Sarawak Kiri di Batu Kitang dan Kampung Git.

Kesemua kawasan ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana paras airnya melangkaui aras bahaya.Kelewatan projek tebatan punca banjir 2

Kesal dengan sikap kerajaan yang tidak memberi keutamaan kepada projek itu, Julian menjelaskan, alasan bergantung kepada situasi kewangan negara menunjukkan pengabaian kerajaan terhadap kepentingan dan keutamaan rakyat di kawasan itu.

” Saya merujuk kepada jawapan Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2010 dengan program tebatan banjir Fasa 2 yang bernilai RM584 juta itu hanya dilaksanakan pada 2016 dan 2017 bergantung pada situasi kewangan negara,” katanya selepas bersama-sama sukarelawan DAP Sarawak menghulurkan bantuan kepada lebih 450 mangsa banjir di Dewan Masyarakat Taman Malihah minggu lalu.

“Kami mengedarkan bantuan makanan dan keperluan asas.

” Jalan raya ditenggelami air tetapi kami memuji komitmen bomba dan sukarelawan lain yang bertungkus-lumus membantu mangsa,” katanya yang kesal berikutan keadaan mangsa banjir pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, hampir setiap tahun penduduk di sekitar sini bimbang terhadap kekerapan banjir terutama pada musim hujan dan antara faktor utamanya ialah sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik.

“Keadaan bertambah buruk dengan kemunculan banyak projek pembangunan dan perumahan hingga pihak berkuasa tempatan gagal menyelenggara sistem perparitan dengan baik,” katanya. – SarawakVoice.com

Kelewatan projek tebatan punca banjir 3