SANTUBONG: Biarpun diwarwarkan berada dalam keadaan selesa untuk menang besar, Pengerusi BN Sarawak ,Tan Sri Adenan Satem menasihati seluruh jentera parti itu agar lebih tenang, serius dan tidak berlebih-lebihan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

” Kita pernah menghadapi pilihan raya sebelum ini dan kita memenanginya.

” Oleh itu, kita perlu dilihat lebih tenang dan matang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Century Santubong Resort, dekat sini petang tadi.

Mengakui seluruh jentera parti itu sudah berada dalam “gear penuh” untuk menghadapi pilihan raya ini, Adenan menasihati pimpinan parti itu di pelbagai peringkat, terutamanya sayap Pemuda agar tidak mengambil mudah segala bentuk persediaan pada pilihan raya ini.

pbb gear penuh 2

” Saya tidak perlu mengingatkan pemuda (dalam hal ini). Mereka akan sentiasa tenang dan siap siaga.

” Mereka tahu apa yang hendak dibuat. Ini bukan pilihan raya pertama kita. Daripada semangat yang ditunjukkan, saya amat yakin kita mampu memikul cabaran apabila tiba waktunya (pilihan raya).

Dengan nada berseloroh beliau memberitahu: “Anda (wartawan) boleh melihat semangat mereka hari ini. Saya fikir, bumbung pun boleh runtuh!”

Ditanya tentang senarai calon Barisan Nasional hasil perbincangannya bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, katanya kebanyakannya sudah selesai.

” Ada beberapa lagi kawasan masih belum ditentukan. Tetapi yang berkaitan PBB dan PRS, telah pun kita muktamadkan,” katanya lagi.

Katanya, bagi menjayakan pembahagian kerusi-kerusi baharu, beliau menggunakan formula 2 (PRS), 2 (SUPP) dan 2 (SPDP). Selebihnya adalah untuk PBB seperti yang diumumkan sebelum ini.

” PBB akan bertanding di 40 kerusi manakala PRS saya percaya 11 atau 12 kerusi,” katanya.

Berkaitan calon langsung BN, Adenan mengakui perkara itu masih dalam pertimbangan.

pbb gear penuh 3

” Kita ada membincangkan tentang calon langsung BN. Ia sedang diperhalusi dan akan selesai.

” Kita pernah mempunyai calon langsung sebelum ini seperti James Dawos (Mamit) dan Billy Abit (Joo). Dan kita akan meletakkan mereka ini (calon langsung BN) ini di kawasan yang berhadapan dengan pertikaian,” sambungnya lagi.

Ditanya apakah ada lagi elemen kejutan selepas ini, Adenan mengakui bahawa dalam setiap pilihan raya akan ada elemen kejutan.

” Hanya pada waktu itu, ada elemen yang menyenangkan dan ada yang sebaliknya,” tambahnya.

Sehingga semalam, Adenan mengakui belum membuat janji temu untuk berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud bagi mencadangkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri ke-10.

Sebelum ini, beliau mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa tarikh 30 April sebagai hari pembuangan undi dan 18 April sebagai tarikh penamaan calon Pilihan Raya Negeri ke-11.

Bagaimanapun, cadangan itu hanya sah jika SPR mengguna pakai tarikh tersebut, kerana mesyuarat rasmi mengenainya hanya bermula selepas DUN dibubarkan.

Ini merupakan kali pertama Adenan memimpin partinya menghadapi pilihan raya negeri, dalam misi mendapat mandat penuh lima tahun sebagai Ketua Menteri Sarawak. – SarawakVoice.com

pbb gear penuh 3