Adakah sinar di hujung terowong bagi PAS? PAS begitu yakin untuk bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk di dua kerusi baharu dalam pilihan raya negeri Sarawak 30 April depan.

Banyak yang bertanya kepada saya: Bagaimana peluang PAS di sarawak? Mungkinkah parti Islam itu dapat melahirkan anak sulung? Atau ia akan kecundang lagi seperti dalam pilihan raya negeri 2011?

Dalam pilihan raya lalu meskipun undi terhadap parti itu meningkat, namun ia kalah dalam kelima-lima kerusi yang ditandinginya.

Tidak dinafikan parti itu telah berjaya menyebarkan pengaruhnya dari segi dakwah dan kebajikan, tetapi itu tidak memadai sehingga memungkinkan berlakunya ayunan undi besar terhadapnya.

Di manakah ia akan bertanding? PAS akan mengumumkan 11 kawasan DUN dan calon bukan Islam yang akan bertanding pada 12 Mac ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan  perkara itu telah dipersetujui Majlis Syura Ulama sambil mengakui ia merupakan percubaan pertama PAS untuk mengetengahkan calon bukan Islam dalam pilihan raya kali ini.

“Kita akan bertanding di tempat kita yakin ada potensi untuk menang dan kita tidak sekadar untuk turun bertanding.

“Kita akan turunkan wakil dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk bertanding dan kita telah kenal pasti beberapa nama yang akan kita umumkan kemudian,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, semalam.

Tuan Ibrahim berkata semua calon PAS yang ingin bertanding dalam PRN Sarawak kali ini perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulama.

“Insya-Allah, Majlis Syura Ulama akan bersidang pada Mac nanti untuk menerima (senarai calon). Setakat ini kita (Majlis Syura Ulama) tidak menerima senarai calon lagi.

“Kita juga menerima maklum balas daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Sarawak supaya mengangkat senarai nama kepada Majlis Syura Ulama untuk kelulusan parti,” ujarnya.

Mengapakah PAS tidak ada peluang menang? Pertama, kebanyakan kerusi yang bakal ditandingi parti itu ialah kerusi yang bakal ditandingi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). PBB parti yang diterajui Ketua Menteri merupakan parti tulang belakang Barisan Nasional Sarawak.

Sebagai parti tulang belakang BN, PBB punya kekuatan dan pengaruh yang sukar digugat dan ditandingi. Jadi, bagaimana mungkin PAS dapat menang di kawasan terbabit?

Atau parti itu sebenarnya teruja dengan kejadian di Beting Maru pada 2011 apabila ia hanya kalah sekitar 300 undi? Namun, PAS tidak seharusnya terlalu berangan-angan besar kerana ia tidak memperlihatkan prestasi PAS sebenar.

Yang sebenarnya berlaku, bukannya kerana pengaruh PAS kuat, tetap[i lebih kerana masalah dalaman dihadapi PBB, termasuk sabotaj terhadap calonnya.

Kedua, kalaupun PAS bertanding di kawasan bukan ditandingi PBB, iaitu kawasan bukan Melayu/Melanau, ia harapannya juga malap.

Sebab? Ideologi yang dibawa oleh PAS tidak serasi dengan kepercayaan, agama, dan budaya masyarakat bukan Islam. PSS dipersepsi parti yang radikal dan ekstremis, lebih-lebih lagi pengundi di Sarawak, terutama bukan Islam sering mengaitkan PAS dengan hukum hudud.

Dengan jentera akan umbi yang lemah, dan diburukkan lagi dengan kualiti calon yang diragui, perjalanan PAS untuk mendapatkan anak sulung di Sarawak sebenarnya masih terlalu jauh. Pilihan raya akan datang, PAS boleh sahaja berangan-angan besar, tetapi realitinya sukar baginya menggapai impian itu. – SarawakVoice.com