Kuching: Malaysia mahu mengambil pendekatan diplomasi, termasuk menggunakan saluran diplomatik dalam mencari jalan penyelesaian isu pencerobohan Beting Patinggi Ali di perairan Sarawak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia disifatkan sebagai pendekatan terbaik dalam menangani isu berkenaan, selain mengelak berlakunya ‘pertembungan’ dengan negara tetangga, termasuk kuasa besar yang berkepentingan di Laut China Selatan.

beting patinggi ali 3

” Jemaah menteri baru-baru ini telah membincangkan perkara ini dan telah membuat pendirian bahawa setakat hari ini, tidak ada keperluan untuk kita bertembung dengan mana-mana kuasa besar dan membawa tindakan ketenteraan, ” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan Makam Pahlawan, di Jalan Budaya, dekat sini pagi tadi.

Sebanyak 23 perwira negara, kebanyakannya wira Iban Trackers dan Sarawak Rangers dikuburkan di sini.

Turut dikebumikan ialah wira yang gugur pada Op Daulat di Lahad Datu, ASP Michael Padel dan Datuk Temenggong Kanang anak Langkau, penerima dua kali Pingat Gagah Berani dan Seri Pahlawan.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai hubungan baik dengan dua kuasa besar di rantau ini iaitu China dan Amerika Syarikat.

” Saya tahu hubungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Pacific Command di Hawaii dan hubungan ATM dengan Southern Fleet di Hainan, China cukup erat sekali.

Kelebihan yang ada ini katanya, diharapkan dapat membantu merintis jalan terbaik dalam menangani isu ini.

Kata Hishamuddin, setakat hari ini, pihaknya dimaklumkan bahawa kapal-kapal China ini masih berada di luar perairan Malaysia.

” Saya difahamkan di kawasan-kawasan sensitif ini, kapal-kapal ini tidak melabuhkan sauh mereka,” katanya.

Tambahnya, dalam perjumpaannya dengan Tan Sri Adenan Satem pada Rabu lalu, Adenan telah memintanya (Hishamuddin) untuk memanjangkan jemputan kepada Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang agar mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak itu.

” Pertemuan ini bertujuan supaya pihak China dapat memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi di Sarawak apa sebenarnya tujuan dan perancangan mereka.”

Jelas Hisham, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa sebarang tindakan ketenteraan adalah langkah terakhir, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa besar.

” Selagi kita tidak mencuba cara terbaik menyelesaikan masalah, situasi menang-menang melalui saluran diplomasi, saya rasa kita belum melakukan yang terbaik untuk memastikan kestabilan, bukan sahaja negara kita tetapi juga serantau.”

Jelasnya, tugas diplomasi ini kini sedang diusahakan oleh Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan akan sentiasa membantu jika diarahkan.

” Pada masa yang sama, hubungan diplomasi kententeraan akan diteruskan dan saya berharap satu komunikasi secara langsung di antara Ketua Menteri Sarawak dan kepimpinan China akan membantu memberikan keyakinan kepada rakyat Sarawak bahawa situasi ini kini terkawal,” tegasnya.

Sejak tiga tahun lalu, isu kehadiran pasukan Pengawal Pantai China berhampiran Beting Patinggi Ali heboh diperkatakan hingga memaksa pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sering menghantar kapal mereka untuk memantau situasi. – SarawakVoice.com

Bating Patinggi Ali 2

beting patinggi ali 4