Source: Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak kesal dengan fitnah terhadap Tabung Haji (TH) sehingga mewujudkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat, terutama pendeposit.

Fitnah yang disebarkan melalui media sosial, mengikut Perdana Menteri, dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik mereka.

Namun, tindakan itu merugikan rakyat dan negara kerana dapat mencetuskan rasa kurang percaya terhadap institusi terbabit.

“Jika umat Islam terpengaruh dengan kenyataan tidak tepat ini sehingga mengeluarkan simpanan mereka di dalam Tabung Haji, ini amat mendukacitakan saya,” jelas beliau.

“Saya faham ada sesetengah pihak yang berniat mencatur langkah politik dengan mempermainkan serta mencetuskan kebencian rakyat, namun saya nasihatkan agar semua dihentikan,” kata beliau dalam catatan terkini blog NajibRazak.com.

Mengikut Najib, para pelabur bukan sahaja kerugian dari segi pulangan pelaburan dan simpanan, malah peluang menunaikan ibadat haji ke Makkah,” kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, satu daripada peranan Tabung Haji adalah sebagai badan pelaburan dana Islam yang membolehkan umat Islam di negara ini menyimpan dan melabur secara halal, serta berteraskan syariat Islam.

Namun, disebabkan pelbagai kenyataan negatif terhadap TH, umat Islam yang mengeluarkan simpanan tidak dapat menikmati pulangan yang sepatutnya.

“Lebih malang lagi, mereka yang berbuat demikian juga mungkin kehilangan giliran menunaikan haji,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan telah dan akan terus berusaha untuk membolehkan seramai mungkin umat Islam menunaikan fardu haji, dan satu daripada caranya adalah melalui subsidi bagi mereka yang menunaikan haji untuk pertama kali.

Misalnya, bagi 1437 Hijrah, kos sebenar menunaikan haji adalah RM18,890 seorang, tetapi jumlah yang perlu dibayar oleh bakal haji cuma RM9,980. Selebihnya, RM8,910 ditanggung oleh Tabung Haji.

Beliau turut berkata, hasil hubungan diplomatik erat Malaysia dengan Arab Saudi, kerajaan negara itu memberikan kuota tambahan jemaah kepada Malaysia, dari semasa ke semasa.

“Tahun lalu misalnya, Malaysia mendapat tambahan kuota 2,2100 jemaah haji muassasah, berbanding kuota asal 23,320.

Perdana menteri berkata, pengurusan cemerlang TH dan tahap disiplin tinggi jemaah Malaysia juga sering dipuji oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Sementara itu, mengikut kenyataan Tabung Haji beberapa kelmarin, keuntungan terkumpul masih kekal positif selepas pembayaran bonus 2015, iaitu RM609 juta, berbanding RM293 juta tahun sebelumnya.

TH menegaskan bonus yang dibayar adalah berdasarkan keuntungan tahun semasa, dan tidak sesekali menggunakan rizab.

Syarikat pengurusan dana terbesar itu telah mengkredit sebanyak RM3,2 bilion bayaran bonus kepada 8,85 juta pendeposit sejak Isnin lalu.

TH memberi bonius 5 peratus dan tambahan 3 peratus kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan ibadah haji. – SarawakVoice.com