Keterlanjuran viral biskut tamat tempoh untuk mangsa banjir makan diri

KUCHING: Menangguk di air keruh memang kerja oportunis, menyebarkan fitnah memang mudah.

Inilah yang dilakukan oleh seorang pengguna media sosial apabila menyebarkan berita kononnya Jabatan Kebajikan Masyarakat mengedarkan biskut luput tarikh kepada mangsa banjir baru-baru ini.

Keterlanjuran seorang wanita memviralkan kononnya Jabatan Kebajikan Masyarakat membekalkan biskut kering tamat tempoh kepada mangsa banjir di Kampung Ma’ang, Serian memakan diri apabila dakwaan itu terbukti tidak benar.

Wanita tersebut dalam status facebooknya pada Rabu, 10 Februari lalu merakamkan satu foto yang membuktikan biskut tersebut telah tamat tempoh.

Dia kemudian menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa kenapa ia berlaku, sambil mendakwa ia bukan pertama kali terjadi kepada mangsa banjir Kampung Ma’ang.

Bagaimanapun dalam status terkininya selepas viral itu berlaku, wanita terbabit memohon maaf dan mengakui kesilapannya.

Dia mengakui agak terburu-buru memuat naik status sebelum mendapat maklumat kemudiannya bahawa tarikh luput sebenar biskut tersebut adalah pada 31 Mac depan.

Menteri Pembangunan Masyarakat, Wanita dan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah ketika dihubungi berkata, beliau sedih dengan tindakan terburu-buru segelintir masyarakat seperti itu.

” Mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dalam melaporkan sesuatu, atau membuat kenyataan.

Dalam kes ini katanya, ternyata banyak pihak terkeliru dan marah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walhal perkara ini adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

” Ia malah sekali gus memusnahkan imej dan reputasi JKM walaupun penulis tersebut telah memohon maaf selepas itu.

Menurut Fatimah, beliau berulang kali menasihatkan para petugas JKM agar memastikan semua bekalan untuk pangkalan hadapan dan juga untuk pusat pemindahan sentiasa dalam keadaan baik dan segar.

” Tidak ada ruang untuk barangan tamat tempoh luput, buruk atau busuk kerana dalam situasi bencana, kesemua bekalan ini perlu diedarkan secara cepat.

” Oleh itu para petugas kami akan sentiasa memberikan perhatian lebih kepada perkara-perkara seperti ini,” katanya. – SarawakVoice.com

viral biskut luput 2