Aktiviti pembalak haram tumpas

KUCHING:  Aktiviti pembalakan haram terus berlaku di sebalik usaha gigih kerajaan untuk membanterasnya.

Dengan hasil lumayan daripada kegiatan haram itu, yang membolehkan pelakunya mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit, mereka bagai tidak peduli dengan hukuman berat yang menanti.

Namum, impian individu terbabit untuk mengaut lebih banyak keuntungan kecundang apabila  pasukan pencegahan dan penguatkuasaan Jabatan Hutan Sarawak berjaya merampas 40 batang balak haram pelbagai saiz dan spesies di kawasan Gunung Teriang, Balai Ringin.

Hasil pemeriksaan jabatan terbabit, didapati balak-balak berkenaan berada di luar kawasan lesen, dan tidak mempunyai tanda hak milik atau tanda tukul taksiran royalti yang sah daripada Jabatan Hutan Sarawak.

Pengarah Hutan Sarawak mengesahkan, Jabatan Hutan telah membuka kertas siasatan serta membuat tafsiran bagi menilai hasil rampasan berkenaan.

Haji Sapuan Ahmad memberi peringatan, operasi mencegah pembalakan haram tidak dihentikan meskipun pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau turut mengingatkan, individu yang berhasrat untuk membersihkan kawasan bagi tujuan pembangunan tanah yang berhak milik atau berstatus Tanah Adat Bumniputera (NCR) dan ingin menjual kayu-kayu yang ditebang daripada kawasan terbabit agar mendapatkan lesen terlebih dahulu daripada Jabatan Hutan Sarawak.

Katanya jabatan terbabit mempunyai segala kemudahan dan kelengkapan untuk memantau kegiatan pembalakan haram sehingga sukar untuk pelaku mengelak daripada dijejaki.

Beliau mengingatkan di  bawah undang-undang sedia ada, pesalah berpotensi dikenakan hukuman berat jika didapati bersalah oleh mahkamah,

Beliau turut meminta agar mereka yang mengetahui kegiatan pembalakan haram menyalurkan  maklumat berkenaan kepada Jabatan Hutan bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.

Setakat ini, 36 buah kilang telah ditutup yang membuktikan kejayaan kerajaan membanteras kegiatan itu, membabitkan kerugian beratus-ratus juta ringgit. – SarawakVoice.com