SARIKEI: Penguat kuasa Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menemui longgokan balak yang sudah ditumbuhi tumbuhan parasit dan berlumut yang ditinggalkan di Sungai Sugai, Pakan di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan pada jam 12 tengah hari itu menemui 31 balak terdiri daripada 29 spesies Menggris dan dua Tapang.

Menurut Jurucakap SFC, pemeriksaan pada longgokan balak yang ditemui mendapati ia diperoleh secara haram kerana tidak mempunyai cop jabatan hutan serta permit pada balak.

Selain itu, lokasi balak ditemui bukan berada dalam kawasan pembalakan berlesen.

“Balak spesis Menggris dan Tapang yang ditemui adalah dikategorikan sebagai spesis terlindung mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Pembalak haram ini didapati melakukan kesalahan berganda apabila melakukan pembalakan haram dan menebang balak dari spesis terlindung.

“Pemeriksaan penguat kuasa di lokasi terbabit tidak menemui sebarang jentera yang digunakan dalam pembalakan itu,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan keadaan balak yang sudah ditumbuhi tumbuhan parasit dan berlumut, ia dipercayai sudah ditinggalkan di kawasan berkenaan untuk tempoh yang agak lama.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Sarikei dan kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak untuk siasatan dan pelupusan balak. – SarawakVoice.com